July 24, 2025

penerima bantuan rifhan teknologi

Rifhan Teknologi prihatin serah sumbangan Wakalah Zakat kepada pelajar UTM

JOHOR BAHRU, 23 Julai – Satu majlis penyerahan sumbangan Wakalah Zakat oleh Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. telah berlangsung di Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Majlis ini merupakan inisiatif Pengurusan Syarikat sebagai medium penyampaian khidmat kepada masyarakat melalui hasil sumbangan zakat syarikat. Dalam majlis tersebut, Rifhan Teknologi telah menyumbangkan dua unit komputer riba kepada dua orang pelajar yang berkeperluan serta wang tunai berjumlah RM500 kepada 10 orang pelajar UTM. Para penerima telah dikenal pasti melalui proses tapisan berdasarkan pendapatan keluarga dan tahap keperluan semasa. Rifhan Teknologi merupakan pembayar zakat perniagaan berdaftar di Negeri Selangor dan agihan ini adalah hasil pulangan zakat daripada Lembaga Zakat Selangor untuk diagihkan semula kepada komuniti.
Salah seorang penerima Bantuan Komputer Riba
Seorang mahasiswi menerima komputer riba daripada wakil Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. dalam majlis penyerahan sumbangan Wakalah Zakat di Pusat Islam UTM
Seorang mahasiswi menerima sumbangan daripada wakil syarikat Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. sebagai bantuan kebajikan pelajar
Menurut Pengerusi Rifhan Teknologi Sdn. Bhd., Tuan Haji Abdul Hafiz Win, institusi pengajian tinggi menjadi sasaran utama agihan kerana proses pemilihan penerima lebih telus dan diyakini. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pihak universiti yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar. Tambah beliau, penerima bantuan komputer riba merupakan pelajar tahun awal pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, dengan harapan agar peranti ini dapat dimanfaatkan sepanjang tempoh pengajian mereka di UTM.
Doa dibacakan atas kesyukuran atas sumbangan yang diterima
Sesi bersama semua penerima bantuan dan wakil syarikat Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. semasa majlis penyerahan sumbangan di Pusat Islam UTM
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob; Timbalan Pengarah Seksyen Pendanaan Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni; serta Timbalan Pendaftar Bahagian Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Para penerima bantuan turut hadir memeriahkan majlis.

Rekod terdahulu menunjukkan Unit Zakat UTM turut mengagihkan bantuan serupa menerusi program Wakalah Zakat Tabung Haji pada tahun 2021 dan 2023. Pada 2021, sejumlah RM750,000 telah disumbangkan kepada 218 pelajar dalam bentuk wang tunai dan komputer riba, manakala pada 2023, seramai 150 pelajar menerima manfaat dengan jumlah sumbangan RM600,000.

Selain Tabung Haji, beberapa agensi dan syarikat turut menyalurkan zakat menerusi kaedah Wakalah Zakat, termasuk Maybank, Bank Islam, RHB Bank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Etiqa Takaful dan lain-lain. Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan berterusan dalam menyokong ekosistem pembelajaran dan kesejahteraan pelajar.

Unit Zakat UTM merakamkan penghargaan kepada Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. serta semua penyumbang Wakalah Zakat atas sokongan berterusan mereka. Semoga usaha murni ini diberkati dan menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk turut serta dalam memperkasa kebajikan pendidikan.

Sebagai renungan, sabda Rasulullah SAW:
“Hendaklah kalian saling berjabat tangan, nescaya akan hilanglah kedengkian. Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya akan saling mencintai dan hilanglah permusuhan.”
(Hadis Riwayat Malik No: 1413)

Unit Zakat menyeru agar sumbangan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima, agar nilai zakat tidak hanya membawa keberkatan di dunia, malah menjadi pemberat amal di akhirat kelak.

Explore More