JOHOR BAHRU, 4 Julai ─ Profesor Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus kini dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkuat kuasa mulai 7 Julai 2025. Pelantikan ini adalah berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam memacu kecemerlangan akademik dan memperkukuh hubungan antarabangsa Universiti ini.
Sebelum ini, Prof. Intan Zaurah memegang jawatan sebagai Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM dan Pengarah Pusat Akademik dan Pembelajaran Berpengalaman (CAEL). Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan tinggi, beliau dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk menerajui agenda akademik dan antarabangsa universiti dalam era yang semakin mencabar.
Berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dari The University of Sheffield, United Kingdom dalam bidang kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk Kawalan Getaran dan Struktur Robotik, Prof. Intan Zaurah pada awalnya memperoleh ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian Kelas Pertama dari University of Wales College Cardiff pada tahun 1998.
Antara sumbangan penyelidikan utamanya termasuk pembangunan sistem kawalan getaran pintar untuk struktur fleksibel serta aplikasi AI dalam penyelesaian pelbagai masalah kejuruteraan.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif strategik universiti, termasuk menerajui pelaksanaan Program Service-Learning Malaysia (SULAM) yang mengintegrasikan khidmat komuniti ke dalam kurikulum akademik dan lebih 55 program pengajian di UTM. Selain itu, beliau mempelopori pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dengan kerjasama pelbagai industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Di peringkat antarabangsa, beliau giat membina jaringan kerjasama strategik menerusi program mobiliti pelajar menerusi program International Internship lebih 100 orang pelajar ke pusat penyelidikan di institusi pengajian tinggi terkemuka antaranya Carbon Capture Pilot Plant di Imperial College London, University of Edinburgh, Seoul National University dan KAIST. Disamping itu beliau juga giat memperkukuhkan jaringan strategik menerusi pembelajaran servis antarabangsa bersama Universiti Negeri Malang, Universiti Negeri Semarang, dan beberapa universiti di Aceh Indonesia.
Pengaruh beliau turut melangkaui sempadan UTM apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, bagi membantu membentuk dasar kokurikulum kebangsaan yang lebih holistik dan inklusif.
Sumbangan beliau dalam akademik dan penyelidikan turut diiktiraf menerusi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UTM pada tahun 2003, 2007, 2011, 2015 dan 2022. Beliau turut menerima pengiktirafan antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran penyelidikan seperti Seoul Intenational Invention Fair 2012 dan 2013, MTE 2013 serta ITEX 2010. Sehingga kini, beliau telah mengetuai projek penyelidikan bernilai lebih RM2 juta dalam bidang penyelidikan beliau. Beliau juga bergiat aktif bersama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM dalam pembangunan makmal komuniti di Benut, Semporna, dan Hulu Langat.
Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, pemilihan Prof. Intan Zaurah amat bertepatan dengan hala tuju UTM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan kecemerlangan akademik. “Kepakaran dan pengalaman Prof. Intan dalam kepimpinan akademik dan hubungan antarabangsa akan membawa UTM ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Anak kelahiran Melaka ini juga aktif dalam pembangunan belia, pernah memegang jawatan dalam Majlis Belia Negeri Johor dari 2007 hingga 2009 dilihat terus komited terhadap pembangunan pendidikan dan masyarakat. Pelantikan ini diharapkan dapat terus melonjakkan lagi reputasi UTM sebagai antara universiti penyelidikan terkemuka bukan sahaja di negara ini malah di persada dunia.