PASIR GUDANG, 24 Jul – Satu inisiatif inovatif telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Rinting 2 melalui projek modul bertajuk Modul Pengajaran Teradun Berasaskan Bilik Interaktif dan Sistem Fertigasi Lestari, hasil kerjasama antara pihak sekolah dan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Modul ini dibangunkan dengan matlamat memperkasa pendekatan pembelajaran berpusatkan murid dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Tingkatan 1.
Modul ini memberi fokus kepada pembelajaran projek berasaskan fertigasi lestari dengan penggunaan ruang khas, iaitu bilik interaktif sekolah sebagai pusat pelaksanaan aktiviti utama. Pendekatan modul juga menggabungkan elemen reka bentuk dan komunikasi visual melalui perisian Tinkercad, latihan berfasa, pembentangan kumpulan, dan dokumentasi hasil kerja murid. Pendekatan ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta memupuk penglibatan aktif murid dalam pembelajaran.
Projek ini diterajui oleh Dr. Aishah Rosli dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), UTM, yang bertanggungjawab membangunkan kandungan dan penyelarasan projek dengan kerjasama rapat warga sekolah, khususnya guru-guru RBT. Inisiatif ini turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Pertanian Negeri Johor sebagai penaja, dengan kerjasama Sinar Rihana Resources, SMK Taman Rinting 2, Parlimen Pasir Gudang. Selain pembangunan modul, projek ini turut melibatkan pembinaan sistem fertigasi sebenar yang boleh digunakan semula setiap tahun oleh pihak sekolah.
Satu sesi latihan intensif guru telah diadakan bagi memastikan pelaksanaan modul dapat dijalankan secara seragam dan berkesan. Latihan ini dikendalikan oleh Dr. Nurzal Effiyana Ghazali, Pengarah Pusat Kejuruteraan Pendidikan (CEE), UTM, dengan bantuan Wan Akmal ‘Izzati Wan Mohd Zawawi dari pusat yang sama.

Sepanjang bengkel, guru-guru RBT yang terlibat diberi pendedahan mendalam terhadap struktur 15 sesi modul, kaedah pelaksanaan secara teradun, serta penggunaan bilik interaktif sebagai ruang pembelajaran aktif. Mereka turut diberikan peluang menyemak, mencuba, dan memberi maklum balas terhadap bahan pengajaran, termasuk lembaran kerja murid, panduan guru, dan elemen digital yang disarankan.

Bengkel ini juga dijadikan ruang kolaboratif bagi guru dan fasilitator membincangkan isu-isu pelaksanaan dalam konteks sebenar bilik darjah. Guru-guru seperti Nur Fathin Wan Ab Malek dan Nur Azlin Ab Aziz memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan praktikal serta menyumbang cadangan penambahbaikan berdasarkan pengalaman mengajar di kelas sebenar.
Melalui sesi ini, guru menjalankan simulasi aktiviti, memberikan ulasan terhadap reka bentuk modul, serta menyesuaikan kaedah penyampaian mengikut keperluan pelajar, terutamanya bagi kelas berprestasi rendah. Bengkel ini berjaya mewujudkan pemahaman bersama antara pihak universiti dan sekolah dalam memastikan modul ini bukan sahaja teoritikal, tetapi juga praktikal dan mudah dilaksanakan.

Berdasarkan soal selidik selepas pelaksanaan, kesemua guru melaporkan peningkatan penglibatan murid serta keyakinan mereka sendiri dalam mengendalikan topik fertigasi secara lebih aktif. Penggunaan modul mendorong murid membuat keputusan sendiri, berkolaborasi dalam kumpulan, dan menunjukkan pemilikan terhadap hasil kerja mereka. Ini mencerminkan kejayaan pendekatan pembelajaran berpusatkan murid yang diterapkan dalam modul.
Antara aspek modul yang paling dihargai ialah susunan sesi yang jelas, aktiviti berfasa yang mudah diikuti, dan sokongan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk kelas pelbagai tahap. Guru juga menyatakan bahawa bilik interaktif memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih fleksibel dan menarik.

Dengan anggaran 150 pelajar terlibat dalam pelaksanaan modul melalui empat kelas RBT Tingkatan 1, impak projek ini dijangka berterusan dari segi peningkatan kefahaman murid terhadap konsep fertigasi serta pencapaian kemahiran reka bentuk dan penyelesaian masalah.
Projek ini membuktikan nilai penglibatan komuniti yang tinggi melalui kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah. Kejayaan pelaksanaan modul ini di SMK Taman Rinting 2 menjadi contoh bagaimana penyelidikan dan inovasi universiti boleh diubah menjadi amalan bilik darjah yang relevan, berimpak, dan berdaya tahan.