JOHOR BAHRU, 24 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan CBH Recycle (M) Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM 2025 bertempat di Tasik Ilmu, Taman Tropika, UTM Johor Bahru.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UTM menyokong agenda kelestarian sejagat melalui penyertaan aktif dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat kampus dan awam.
Dalam masa yang sama, inisiatif ini berfungsi sebagai wadah pendidikan komuniti dan aplikasi langsung gaya hidup lestari, khususnya dalam mengurangkan pelepasan karbon yang menjadi antara penyumbang utama kepada perubahan iklim dan pemanasan global.

Sambutan masyarakat yang hadir nyata menggalakkan apabila program ini berjaya merekodkan kutipan sebanyak 14,623 kilogram sisa pelbagai kategori, meliputi kertas (4,784 kg), minyak masak terpakai (3,263 kg), besi (2,826 kg), kotak (902 kg), sisa elektronik atau e-waste (803 kg), plastik (362 kg) dan aluminium (233 kg).
Kejayaan ini menyumbang kepada pengurangan jejak karbon sebanyak 42,931.2 kilo tan karbon dioksida (ktCO₂), bersamaan dengan jumlah karbon yang diserap oleh ribuan pokok matang dalam tempoh setahun.
Pengurus Hijau Jabatan Canseleri, Mayuzei Ujang berkata, konsep pelaksanaan secara ‘pandu lalu’ yang diperkenalkan bukan sahaja memudahkan peserta menghantar sisa tanpa perlu keluar dari kenderaan, malah mempercepatkan proses pengumpulan dan meningkatkan penyertaan masyarakat.

“Program ini kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, khususnya oleh warga kampus dan penduduk sekitar Iskandar Puteri.
“Kita amat berbangga kerana tahun ini jumlah kutipan sisa menunjukkan peningkatan ketara, sekaligus membuktikan bahawa kesedaran dan komitmen terhadap kelestarian semakin utuh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa empat stesen utama telah disediakan sepanjang program iaitu stesen barangan kitar semula (yang menawarkan ganjaran mata melalui kitarecycle.com), stesen minyak masak terpakai yang dibeli pada kadar RM3.00/kg, serta stesen sumbangan fabrik terpakai dan buku/alatulis.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada agensi rakan strategik. MBIP menyediakan sokongan logistik termasuk khemah, kipas industri dan papan tanda manakala CBH Recycle bertanggungjawab mengendalikan kutipan sisa elektronik dan barangan kitar semula lain.
Sementara itu, pengunjung terdiri daripada warga kampus, suri rumah, pemilik perniagaan kecil dan pelajar yang membawa pelbagai jenis sisa dari rumah dan premis masing-masing.

Program seperti ini diharap mampu menjadi model kerjasama pintar antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta dalam memacu agenda pembangunan mampan selaras dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 dan nilai teras kelestarian yang didukung oleh UTM.