CYBERJAYA, 9 Julai – Sekumpulan pensyarah dan pelajar pascasiswazah dari Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-32 (SKSM32) yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. Simposium anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) ini menghimpunkan para sarjana matematik dari seluruh negara dengan tema “Transformasi Sains Matematik: Menggerakkan Inovasi dan Memperkukuh Pertahanan Negara.”
Penyertaan UTM menyerlah menerusi pengiktirafan tertinggi kepada Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin yang dilantik sebagai Pengucaptama SKSM32 dan menyampaikan syarahan bertajuk “Teori Nombor dan Kriptografi: Pemacu Keselamatan dalam Era Digital.” Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan teori nombor dalam pembangunan sistem kriptografi moden dan kaitannya dengan keperluan keselamatan siber negara yang semakin mencabar.

Selain syarahan utama tersebut, tujuh kertas kerja telah dibentangkan secara lisan oleh pensyarah dan pelajar pascasiswazah Jabatan Sains Matematik UTM. Antaranya ialah Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng dengan tajuk “Reduction for Graph of DNA Sequences Using Distance Between Fragments”; Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali, “Laplacian Energy of the Enhanced Power Order Product Prime Graph of Some Generalized Quaternion Groups”; Dr. Ahmad Qushairi Mohamad, “Mathematical Modeling of Brinkman-Type Carbon Nanofluid Flow in a Channel with Bioconvection Effects”, dan pelajar PhD Ang Chin Xiang, “Descriptions, Fixed Points and Dynamics of b-Bistochastic Quadratic Stochastic Operators on 3-Dimensional Simplexes”. Turut membentang ialah Ong Ren Ching, “Odd-Even Clique Equality in the Coprime Graph of the Generalized Quaternion Group”; Goh Hung Lik, “Generalization on Spectral Properties of Path-directed Graph”; dan Chen Hui Yi,“Bifurcation Analysis and Bistability in a Predator-Prey Model with Cosner-type Functional Response and Michaelis-Menten Prey Harvesting”.
Kesemua pembentangan ini mencerminkan kekuatan penyelidikan asas dan terapan di UTM dalam bidang sains matematik, serta komitmen para penyelidik dan pelajarnya terhadap pembangunan ilmu sejajar dengan keperluan negara. SKSM32 juga menjadi platform pertukaran ilmu antara generasi penyelidik dan pengukuhan kerjasama rentas universiti, sekali gus mengangkat reputasi UTM sebagai antara peneraju utama sains matematik di Malaysia.
Anugerah PERSAMA: Pengiktirafan kepada UTM dalam Majlis Makan Malam SKSM32
Kecemerlangan penyelidik dan pelajar UTM turut diserlahkan dalam Majlis Anugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) yang berlangsung pada Majlis Makan Malam SKSM32 pada 8 Julai 2025. Beberapa ahli akademik, pelajar, dan alumni Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains telah menerima anugerah berprestij sebagai pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam penyelidikan sains matematik.
Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin bersama Dr. Ghazali Semil @ Ismail dan Dr. Nuridayu Alimon telah dinobatkan sebagai Pemenang Utama Kategori Rekacipta Matematik menerusi aplikasi inovatif “T.I. Calc – Topological Indices Calculator App” yang direka bentuk untuk pengiraan indeks topologi dalam graf secara sistematik dan mesra pengguna, dengan aplikasi luas dalam kimia matematik dan sains rangkaian.

Dr. Wan Faezah Wan Azmi pula menerima anugerah Pemenang Utama Kategori Tesis Doktor Falsafah melalui tesis bertajuk “Free Convection Flow of Classical and Fractional Models for Casson Fluid and Casson Nanofluid in Cylinder with Slip Velocity”, diselia oleh Dr. Ahmad Qushairi Mohamad dan Prof. Dr. Sharidan Shafie. Dr. Nurhidayah Zaid menerima Hadiah Sanjungan Kategori Tesis Doktor Falsafah dengan tesis bertajuk “The Annihilators for Some Finite Rings of Matrices of Dimension Two, and Their Applications in Probability Theory and Graph Theory”, di bawah penyeliaan Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin.


Manakala Ong Ren Ching, pelajar PhD UTM di bawah penyeliaan Dr. Mohd Ali Khameini Ahmad, telah menerima Anugerah Pembentang Terbaik menerusi pembentangannya yang bertajuk “Odd-Even Clique Equality in the Coprime Graph of the Generalized Quaternion Group.” Anugerah ini disampaikan dalam Sesi Penutup SKSM32 pada 9 Julai 2025.

Penerimaan anugerah-anugerah ini membuktikan kecemerlangan berterusan Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains UTM dalam melahirkan penyelidik berkualiti tinggi yang menyumbang secara aktif kepada perkembangan ilmu matematik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Oleh Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin dan Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali