JOHOR BAHRU, 19 Jun – Menyahut aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan daya cipta, Fakulti Sains dengan kerjasama Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan Wacana Intelektual MADANI Siri 5 bertemakan “STEM MADANI: Pemacu Inovasi Terapan ke Arah Masa Depan Lestari.”
Bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, wacana ini menghimpunkan tokoh akademik, penyelidik dan pelajar dalam satu platform dialog ilmu yang memperkasakan peranan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam membina masa depan negara yang mampan, inklusif dan berdaya cipta.
Wacana istimewa ini menampilkan dua mantan dekan Fakulti Sains, iaitu Prof. Emeritus Dr. Bahrom Sanugi, pakar matematik gunaan dan pengkomputeran, serta Prof. Dr. Madzlan Aziz, pakar tenaga dan bahan termaju. Kedua-dua tokoh membincangkan potensi STEM sebagai pemacu kepada inovasi terapan yang mampu menangani cabaran masa hadapan negara.
Sinergi ilmu Matematik dan Kimia
Diseleraskan oleh Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin selaku moderator, perbincangan menyeluruh ini membina sinergi antara dua cabang ilmu – matematik dan kimia – merentas topik seperti pemodelan matematik dalam kecerdasan buatan (AI), sistem tenaga mampan, penghasilan bahan termaju, fotokatalisis, serta pembangunan bateri natrium sebagai alternatif kepada teknologi bateri litium.

Matematik sebagai alat penyelesaian global
Prof. Emeritus Dr. Bahrom menekankan kepentingan pemodelan matematik (mathematical modeling) dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, AI dan industri tenaga. Beliau menjelaskan bahawa walaupun model seperti Navier-Stokes Equation belum mempunyai penyelesaian analitik yang lengkap, pendekatan penyelesaian berangka seperti finite difference dan boundary element method telah membolehkan industri memperoleh keputusan yang tepat dan praktikal.

Kimia termaju menyokong tenaga mampan
Sementara itu, Prof. Dr. Madzlan Aziz mengangkat peranan kimia fizikal dalam penghasilan bahan baharu yang menyokong teknologi tenaga bersih seperti sel bahan api, fotokatalisis untuk rawatan air sisa, dan pembangunan bateri natrium-ion sebagai alternatif kepada litium.
Beliau turut berkongsi projek pembangunan bateri natrium oleh pasukannya di bawah geran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) sebagai contoh komitmen UTM terhadap kemampanan.

Mengurus cabaran teknologi tenaga masa hadapan
Dalam membincangkan halangan penyelidikan dan aplikasi teknologi tenaga, para panelis mengetengahkan isu-isu seperti ketahanan sel solar dalam iklim tropika Malaysia, kecekapan tenaga yang rendah, serta kos tinggi bagi sistem tenaga alternatif.
Antara saranan yang diketengahkan termasuk pembangunan solar concentrator untuk bangunan bertingkat oleh Prof. Dr. Madzlan, dan pendekatan statistik serta konsep “golden ratio” dalam mengoptimumkan penggunaan Peltier Cell oleh Prof. Emeritus Dr. Bahrom.
STEM sebagai nadi budaya ilmu MADANI
Isu penglibatan belia dan masyarakat dalam STEM turut menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab. Kedua-dua ahli panel menyeru agar pendidikan STEM diperluas melalui pendekatan interdisiplin, pemerkasaan sekolah vokasional, dan pembudayaan sains dalam komuniti.
Mereka turut menyentuh potensi Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang kini lebih menyasarkan penglibatan komuniti melalui kerjasama antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi.
Inovasi terapan sebagai wadah keadilan sosial
Mengulas lebih lanjut, para panel mencadangkan agar pendekatan pendidikan STEM menjadi lebih fleksibel dan merangkumi laluan teknikal dan vokasional, bukan semata-mata akademik. Penglibatan komuniti, NGO dan industri melalui program berasaskan sains dan Geran STI dilihat sebagai strategi penting dalam memasyarakatkan inovasi serta menjadikan STEM alat keadilan sosial dan pembangunan negara.
Wacana ini turut memperkukuh nilai-nilai asas dan etika Malaysia MADANI seperti kemampanan, daya cipta, keadilan dan kesejahteraan, yang menurut Prof. Emeritus Dr. Bahrom, perlu disemai sejak kecil bagi membentuk generasi bebas daripada budaya rasuah dan penindasan.

UTM terus menjadi nadi wacana intelektual negara
Melalui platform seperti Wacana Intelektual MADANI Siri 5, UTM menunjukkan komitmen berterusan sebagai universiti penyelidikan terkehadapan, dalam menjana pemikiran kritis, memperkukuh dasar negara dan mencorak masa depan yang inklusif serta lestari.
Program ini turut menjadi manifestasi kesungguhan UTM dalam menyemarakkan budaya ilmu dan mengekalkan kedudukannya sebagai institusi peneraju pendidikan dan penyelidikan STEM bertaraf dunia, yang berteraskan prinsip Malaysia MADANI.
