June 21, 2025

JOHOR BAHRU, 21 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan keunggulan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi apabila terus mendominasi pertandingan ROBOCON Malaysia 2025 dengan menyapu bersih kedudukan Pertama, Kedua  serta merangkul Anugerah Kejuruteraan Terbaik dalam pertandingan berkenaan.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Jun lalu di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu menyaksikan dua pasukan UTM, UTM A dan UTM B, bertembung sesama sendiri di pentas akhir, sekali gus memperlihatkan keupayaan luar biasa institusi itu dalam bidang robotik dan automasi.

Pasukan UTM A yang muncul di tempat pertama dalam pertandingan ini

Pasukan UTM A merangkul tempat Pertama dan membawa pulang wang tunai RM10,000 serta medal, manakala UTM B meraih kedudukan Kedua dengan ganjaran wang tunai RM5,000. Bukan sekadar itu, UTM turut menggondol Anugerah Kejuruteraan Terbaik, sekali gus meraih RM2,000 yang menjadikan kutipan kemenangan keseluruhannya berjumlah RM17,000, nilai hadiah terkumpul yang tertinggi dalam edisi kali ini.

Pasukan UTM B muncul pememang tempat kedua

Kejayaan berganda ini digerakkan oleh pasukan yang terdiri daripada 40 orang mahasiswa daripada tiga fakulti, iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) seramai 30 pelajar, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) tujuh pelajar dan Fakulti Komputeran (FK) tiga pelajar. Pasukan ini mendapat bimbingan Pengurus Pasukan, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Ridzuan Ahmad dari  Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Dominasi UTM dalam pertandingan tahun ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai peneraju utama pendidikan kejuruteraan, sains dan teknologi di Malaysia, bahkan memperlihatkan hasil integrasi ilmu antara pelbagai disiplin kejuruteraan dan pengkomputeran.

Lebih membanggakan, kejayaan ini turut melayakkan UTM mewakili Malaysia ke ABU ROBOCON 2025 yang dijadualkan berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia pada 24 Ogos depan.

Pertandingan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) itu bakal menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh rantau Asia Pasifik, dan penyertaan UTM sebagai wakil negara pastinya membawa harapan besar untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dengan momentum kemenangan dan semangat inovasi yang tinggi, pasukan Robocon UTM diyakini mampu memberikan saingan sengit di pentas dunia. Seluruh warga UTM mendoakan kecemerlangan mereka dalam misi mengharumkan nama negara di Mongolia kelak bakal menjadi realiti.

Explore More