June 25, 2025

UTM terajui pembelajaran servis antarabangsa di Pulau Sabang

ACEH, 20 Jun – Seramai 49 orang pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta tiga universiti serantau iaitu Universitas Syiah Kuala (USK), Universitas Teuku Umar (UTU) dan Universitas Tadulako (UNTAD) telah diraikan dalam Majlis Pelepasan Rasmi bagi menyertai Program Pembelajaran Servis Antarabangsa (International Service Learning – ISL) 2025 yang berlangsung di Pulau Sabang, Aceh, Indonesia dari 14 hingga 20 Jun 2025.

Timbalan Pengerusi UGS merangkap Pengarah Program ISL menerima cenderahati dari Wakil Rektor Bidang Akademik USK

Majlis pelepasan penuh simbolik itu telah diadakan di AAC Dayan Dawood, USK, dan disempurnakan oleh Wakil Rektor Bidang Akademik USK, Prof. Dr. Ir. Agussabti. Antara momen istimewa majlis ialah pemakaian topi kepada wakil pelajar sebagai simbolik permulaan misi yang sarat dengan nilai pendidikan, teknologi dan kemanusiaan. Turut hadir, wakil rasmi dari keempat-empat universiti yang terlibat.

Program ini dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM dan disokong oleh USK selaku tuan rumah. Ia menggabungkan pendekatan pembelajaran servis sebagai landasan untuk pelajar mengaplikasikan ilmu secara praktikal, memperkukuh kemahiran insaniah serta memupuk kesedaran global dan tanggungjawab sosial dalam persekitaran sebenar.

Sambutan masyarakat di Pulau Sabang berlangsung meriah dan turut dihadiri oleh sebahagian penduduk setempat

ISL Aceh 2025 merupakan langkah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) yang bertujuan memperkasa pelajar dengan empat objektif utama iaitu pengaplikasian ilmu secara praktikal, peningkatan kemahiran insaniah, perluasan jaringan kerjasama antarabangsa, dan memupuk kesedaran global dan tanggungjawab sosial. Program ini merupakan manifestasi kepada komitmen institusi pengajian tinggi dalam mendukung agenda pendidikan yang bersifat transnasional dan lestari.

Menurut Pengarah Program ISL, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi UTM dalam melahirkan graduan holistik dan kompeten untuk dunia tanpa sempadan. Katanya, “Kolaborasi rentas negara ini membuka ruang pemindahan ilmu dan pertukaran budaya yang lebih dinamik, sekali gus mengangkat keterlihatan institusi dan pelajar di peringkat antarabangsa.”

Pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat melalui pelbagai modul menarik
Pelaksanaan modul penyelenggaraan dan keselamatan barangan elektrik membantu meningkatkan kesedaran komuniti
Pelajar dan masyarakat berganding bahu dalam aktiviti pemasangan pengecas solar mudah alih

Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh pelajar bersama komuniti. Antaranya, saringan kesihatan asas bagi mengesan penyakit tidak berjangkit, pemasangan pengecas solar mudah alih untuk komuniti pesisir, serta latihan asas rehabilitasi dan bantuan kecemasan. Selain itu, pelajar turut membimbing komuniti dalam pembangunan kandungan digital menggunakan Canva, CapCut dan TikTok, serta memberi pendidikan tentang keselamatan elektrik di rumah bagi meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan.

Program ini bukan sahaja memperlihatkan sinergi pendidikan serantau, tetapi turut menzahirkan aspirasi UTM dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial global. Di samping itu, pelaksanaan program ini membuka ruang kepada pemindahan ilmu yang bermakna, serta mempererat hubungan diplomasi akademik antara Malaysia dan Indonesia.

Explore More