July 5, 2025

UTM tampil di Hari Landskap Negara 2025 dengan fokus pembangunan mampan

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), serta Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) telah menyertai Pameran Hari Landskap Negara (HLN) 2025 yang diadakan pada 26 Jun 2025 bertempat di Taman Bandar Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.

Majlis perasmian HLN 2025 disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, turut dihadiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor (dua dari kiri), dan YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Penyertaan ini menyerlahkan komitmen UTM dalam mempromosikan inovasi dan kelestarian dalam bidang landskap, selain memperlihatkan hasil karya serta projek terkini yang menumpukan kepada pembangunan landskap lestari dan mesra alam.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS), Dr. LAr Zanariah Jasmani, penglibatan UTM dalam HLN 2025 memperlihatkan inisiatif universiti dalam memperkasakan peranan akademik dan penyelidikan dalam bidang landskap lestari, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Diharapkan melalui penyertaan dalam pameran ini, kami dapat berinteraksi dengan pelbagai pihak luar yang berkepentingan serta berkongsi idea dan inovasi dalam bidang senibina landskap,” katanya ketika ditemui selepas acara perasmian.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang turut menyatakan penghargaan terhadap inisiatif UTM serta komitmen institusi dalam pembangunan landskap yang inovatif dan mampan.

YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor bergambar bersama tetamu kenamaan selepas majlis pelancaran HLN 2025

Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 30 Jun ini membawa tema Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI, dan menjadi platform utama dalam memperkukuh ekosistem landskap negara ke arah kemampanan menjelang 2035.

HLN yang dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) mula diperkenalkan pada 3 Mac 1998 dan kini menjadi acara tahunan penting bertujuan menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan landskap dalam kehidupan. Tarikh tersebut dipilih sempena pelancaran Kempen Tanam Pokok Seluruh Negara pada 3 Mac 1997.

Penyertaan UTM dalam pameran ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 15, Kehidupan di Darat, yang menumpukan kepada perlindungan, pemulihan, dan penggunaan secara lestari ekosistem darat termasuk landskap, hutan dan biodiversiti.

Selain itu, penyertaan ini juga menyumbang kepada SDG 13, Perubahan Iklim, kerana landskap dan pengurusannya secara lestari dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.

Dr. Zanariah (tiga dari kanan) bersama petugas booth pameran UTM di HLN 2025. Turut serta, Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi (dua dari kiri)
Booth pameran UTM yang mengetengahkan inovasi landskap lestari sempena HLN 2025

Secara keseluruhannya, pameran bertemakan landskap dan pengurusan alam sekitar ini selaras dengan usaha mencapai pembangunan mampan seperti yang digariskan dalam SDG 15 dan SDG 13.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Asman Shah Abd Rahman.

Explore More