JOHOR BAHRU, 21 Jun – Lebih 300 peserta membanjiri kawasan B5 Johor Street Market pagi ini bagi menyertai Johor Bahru Heritage Run 2025, sebuah acara larian bertemakan warisan dan perpaduan anjuran pelajar Tahun 3 Kursus Pemasaran Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah subjek Pemasaran Sukan dan Rekreasi (SBSF4143). Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Persatuan Majlis Belia Daerah Johor Bahru (MBDJB) pula bertindak sebagai rakan strategi promosi, memainkan peranan penting dalam menghebahkan acara kepada komuniti belia dan penduduk tempatan.
Bertemakan “Run Proud, Wear Loud – Show Off Your Heritage”, program ini menjadi medan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui aktiviti riadah yang unik dan penuh warna-warni. Peserta digalakkan berlari sambil mengenakan pakaian tradisional masing-masing sebagai lambang kebanggaan terhadap warisan budaya.
Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Musa Hj. Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi), Tourism Malaysia. Turut hadir memeriahkan acara ialah YBhg. Datuk Yahya Ja’afar, Ahli Majlis Zon Bandar Baru Uda, dan YBhg. Dato’ Hj. Abd Rashid Kasman, Ahli Majlis Zon Kempas.

Acara bermula seawal jam 6.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti senamrobik dan taklimat keselamatan sebelum para peserta dilepaskan untuk memulakan larian. Sorotan utama acara termasuk Larian 5KM Berpakaian Tradisional yang membawa peserta menyusuri laluan sekitar kawasan B5 sambil memperagakan busana pelbagai etnik, serta Pertandingan Busana Terbaik yang meraikan kreativiti dan semangat cinta budaya dalam kalangan peserta.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti komputer riba, basikal, dan pakej umrah. Semua hadiah cabutan bertuah adalah hasil tajaan pihak korporat termasuk Tiram Travel, IT Geeks, dan Dr. Bikes. Sokongan ini bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana acara, malah mencerminkan kerjasama erat antara sektor pendidikan dan industri dalam memupuk gaya hidup sihat dan harmoni.

Penganjuran Johor Bahru Heritage Run 2025 bukan sahaja berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, malah menjadi simbol penyatuan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia. Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuhkan semangat perpaduan nasional, mempromosikan gaya hidup sihat, dan memperkasakan warisan tempatan melalui pendekatan inklusif dan penuh semangat Malaysia MADANI.