JOHOR BAHRU, 23 Jun – Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bahagian Pendaftar Kuala Lumpur (BPKL) telah berjaya menganjurkan sebanyak 23 program latihan sempena National Training Week (NTW) 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 21 Jun 2025.
National Training Week (NTW) atau Minggu Latihan Kemahiran Kebangsaan merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh HRD Corp dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertujuan memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia. Inisiatif ini juga memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memanfaatkan pelbagai pengetahuan demi membentuk tenaga kerja yang mahir, kompetitif dan saling berhubung merentasi industri dan negara.

Objektif NTW adalah bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, meningkatkan kerjasama strategik antara kerajaan untuk pembangunan dan latihan, serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan ilmu dan kemahiran kerja masa hadapan.
Sejajar dengan hasrat ini, semua warga UTM telah dipelawa untuk merebut peluang mengikuti program latihan yang ditawarkan secara percuma melalui laman rasmi NTW 2025, selaras dengan tema Learning Beyond Borders. Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan tumpuan dan bidang utama iaitu Kemahiran Hidup (Pembangunan Peribadi dan Pencapaian Diri), Kemahiran Masa Depan (STEM, TVET, Digitalisasi, Kecerdasan Buatan (AI) & Kejuruteraan Mesin), Pembangunan Mampan (Alam Sekitar, Pembangunan, Kesamarataan & Kemakmuran), Kewangan (Bank, Insurans, Pelaburan & Teknologi Kewangan) dan Kreativiti & Inovasi (Muzik, Seni, Budaya & Pendidikan Kreatif).


Sepanjang NTW berlangsung, UTM telah menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk kursus kemahiran profesional, forum kepimpinan, seminar pembangunan diri, dan sesi perkongsian ilmu bersama pakar dalam pelbagai bidang. Program ini terbuka kepada semua dan ditawarkan secara percuma, sebagai usaha untuk memperluas akses kepada pembelajaran sepanjang hayat dan menyokong pembangunan modal insan negara. Kesemua program ini dilaksanakan dalam talian melalui aplikasi Facebook CTLD, Webex dan Zoom. Penyertaan bukan sahaja kepada warga UTM tetapi juga pelajar dan pihak luar. Peserta yang menyertai program anjuran UTM akan menerima e-Sijil Penyertaan, manakala staf UTM boleh mendaftar mata CPD bagi program yang dihadiri.


Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan CTLD dalam menyediakan platform pembangunan kompetensi staf, sejajar dengan usaha melahirkan bakat yang holistik dan berdaya saing. CTLD komited sebagai penyelaras dan penyedia latihan bagi meningkatkan kecekapan, kompetensi dan kepimpinan staf Universiti. CTLD juga akan merancang, melaksana dan menilai program pembangunan profesional yang selaras dengan keperluan organisasi serta menyokong budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan warga kerja.