JOHOR BAHRU, 31 Mei – Program Komuniti Sihat, Sifar Denggi anjuran Kumpulan Penyelidikan Peranti dan Kejuruteraan Tisu Terinspirasi Bio (BIOINSPIRA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di bawah Penyelidikan Bersekutu Bahan Keterhadapan (FMRA) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, dan Hospital Pakar Regency, telah berjaya dilaksanakan pada hari Sabtu, 31 Mei 2025 bertempat di Ruang Legar Pangsapuri Melana, Taman Universiti, Skudai.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya denggi serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan. Menurut Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru, Johor Bahru, negeri Johor merupakan negeri kedua selepas Selangor yang mencatatkan kes denggi tertinggi di Malaysia.
Antara pengisian utama program pemindahan ilmu ini ialah Forum Kesedaran Denggi yang telah dimoderatorkan oleh Dr. Aisyah Ahmad Shafi, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTM. Forum ini menampilkan dua panel jemputan, Luqmanul Hakim Junaidden, Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, dan Prof. Madya Ts. Dr. Farhan Mohamed, Pensyarah Kanan Fakulti Perkomputeran, UTM.

Dalam forum tersebut, Dr. Luqmanul Hakim berkongsi tentang kitaran hidup nyamuk Aedes, lokasi pembiakan, dan langkah pencegahan seperti membuang takungan air, penggunaan perangkap nyamuk, serta kawalan persekitaran. Beliau juga menekankan pentingnya peranan komuniti dalam mencegah penularan denggi. Manakala Prof. Madya Ts. Dr. Farhan, wakil komuniti, berkongsi pengalaman peribadinya dijangkiti denggi, termasuk cabaran semasa pemulihan dan kesan terhadap kesihatan. Pengalaman beliau memberi kesedaran kepada peserta tentang betapa seriusnya penyakit ini walaupun nampak seperti demam biasa.
Sesi soal jawab yang interaktif bersama penceramah memberi peluang kepada pengurus pangsapuri dan penduduk untuk bertanya soalan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjagaan, perlindungan dan kebersihan kawasan perumahan. Sesi ini turut membantu meningkatkan kefahaman peserta tentang peranan mereka dalam mencegah penularan denggi.

Selain forum, pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan termasuk saringan kesihatan percuma (termasuk HbA1C) oleh pihak Hospital Pakar Regency, pertandingan mewarna bertemakan Sifar Denggi untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun, serta pertandingan membuat perangkap jentik-jentik DIY bersama keluarga, yang dibimbing oleh wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru. Aktiviti ini berjaya memberikan pendedahan dan pemindahan ilmu secara praktikal oleh ibu bapa kepada anak-anak tentang cara mengawal pembiakan nyamuk melalui penggunaan bahan mudah didapati secara berkesan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Pangsapuri Melana, ahli Majlis Taman Universiti, para kolaborator, ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan demi kesejahteraan bersama dan komuniti bebas denggi.



Oleh Dr. Norjihada Izzah Ismail dan Dr. Nadia Shaira Shafii