KOTA TINGGI, 8 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh usaha dalam mendidik mahasiswa sebagai sukarelawan lestari menerusi penganjuran program berteraskan kelestarian alam sekitar. Terbaharu, seramai 30 pelajar daripada pelbagai program pengajian seperti Sains Biologi, Bioperubatan, Kejuruteraan Geomatik dan lain-lain telah menjayakan Program Experiential Learning Kursus ULRF2282 – Komuniti Lestari anjuran Pusat Pengajian Prasiswazah UTM.
Program ini telah diadakan di Ladang Tai Tak Sdn. Bhd., Kota Tinggi dengan matlamat meningkatkan kesedaran komuniti tentang amalan kitar semula dan inovasi hijau, melalui penghasilan sabun buku daripada minyak masak terpakai.
Seramai 45 peserta yang terdiri daripada komuniti wanita estet termasuk kakitangan dan peladang telah menyertai program ini. Setibanya di lokasi, para peserta disambut dengan taklimat keselamatan industri oleh Encik Ahmad Buang Amin, selaku Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ladang.
Sesi pertama dimulakan dengan ceramah kesedaran mengenai kitar semula, yang menekankan impak negatif pembuangan minyak masak ke dalam sistem perparitan serta potensi minyak terpakai untuk dikitar semula menjadi produk berfaedah seperti sabun. Peserta turut diperkenal kepada kaedah pembersihan minyak menggunakan tepung jagung – satu teknik mesra alam, mudah dan kos rendah.


Kemuncak program adalah sesi amali pembuatan sabun buku, di mana para peserta mempelajari formulasi asas sabun, teknik mencampur bahan kimia secara selamat serta proses mencetak dan mengeraskan sabun. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenal kemahiran baharu, malah turut membuka peluang ke arah keusahawanan sosial berasaskan produk lestari.
Majlis penutup diserikan dengan ucapan daripada Dr. Mira Panadi, Pensyarah Kanan UTM merangkap Penasihat Program. Sesi diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para peserta dan tetamu kehormat.
“Minyak yang kita anggap sebagai sisa, sebenarnya berpotensi menjadi solusi. Ilmu sebegini harus diterapkan dari sekarang agar masa depan lebih lestari,” – Dr. Mira Panadi, Penasihat Program.

Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat, malah menjadi contoh nyata bagaimana pendidikan boleh digabungkan dengan tindakan amali untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang holistik.
Inisiatif kolaboratif antara institusi pengajian dan komuniti luar seperti yang dilaksanakan di Ladang Tai Tak ini wajar diperluas ke lebih banyak lokasi dan topik lestari, agar impaknya terus berganda. Dengan adanya semangat keilmuan dan keprihatinan yang berterusan, tiada sempadan bagi mahasiswa UTM untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang lebih lestari dan bermakna.