October 9, 2025

Program 3D Future 2025: Dream, Design, Discover Your Future semarakkan ilmu pembelajaran dewasa

JOHOR BAHRU, 4 Jun – Sekumpulan pensyarah Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah menggerakkan sebuah program pembelajaran servis (service-learning) yang diberi nama 3D Future 2025: Dream, Design, Discover Your Future.

Program ini merupakan salah satu penilaian untuk mahasiswa subjek Pembelajaran Dewasa dan juga menjadi wadah pemindahan pengetahuan seperti menerusi penerangan dan permainan di pelbagai reruai Pembelajaran Dewasa kepada kelompok remaja dari Segamat, Johor sebagai tetamu utama dalam program ini.

Pensyarah sekali gus penceramah yang terlibat; (dari kiri) Dr. Salwa Abdul Patah, Dr. Zulkifli Hamisan @ Khair, dan Dr. Azra Ayue Abdul Rahman

Program berlangsung di Bangunan Kesatuan Pelajar (SUB), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membabitkan hampir 100 pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dan hampir 50 pelajar daripada pelbagai program pengajian yang lain.

Program ini mendapat bimbingan dari tiga pensyarah SHARPS iaitu Dr. Zulkifli Hamisan @ Khair, Dr. Azra Ayue Abdul Rahman dan Dr. Salwa Abdul Patah. Ketiga-tiga orang pensyarah ini merupakan Pensyarah Kanan yang berpengalaman luas dalam mendidik, mengajar dan membuat penyeliaan kepada para pelajar pembangunan sumber manusia.

Dr. Zulkifli dan Dr. Azra ialah pengajar subjek pembelajaran dewasa manakala Dr. Salwa pengajar subjek berkaitan tingkah laku organisasi. Dr. Zulkifli secara khusus mengaplikasikan teori Self-Directed Learning (salah satu teori utama pembelajaran dewasa) dalam kajian PhD beliau malah telah hasilkan beberapa buah buku berkaitan pembelajaran dewasa.

3D Future 2025 menjadi wahana perkongsian ilmu antara pensyarah, mahasiswa universiti dan komuniti. Ilmu dan pengalaman pensyarah disalurkan agar mahasiswa dapat menghayati dan mempraktikkan ilmu pembelajaran dewasa yang penting untuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Peserta program ceria mendapat manfaat ilmu berkaitan pembelajaran dewasa

31 remaja dari beberapa buah kampung di Labis, Segamat turut mendapat manfaat dengan menghayati kepentingan pembelajaran dewasa sekali gus membugarkan minat mereka untuk terus melanjutkan pelajaran selepas tamat sekolah nanti.

Tambah menarik, kelompok remaja ini turut ditemani oleh ibu bapa masing-masing agar konsep pembelajaran dewasa ini turut dihayati oleh seluruh isi keluarga. Program seumpama ini berhasrat untuk dilanjutkan ke siri-siri yang seterusnya agar manafaatnya dapat terus disalurkan untuk faedah mahasiswa dan juga komuniti.

Remaja berkenaan juga telah dibawa melawat Perpustakaan Sultanah Zanariah, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim dan Masjid Sultan Ismail. Sebelum sesi penggulungan, seorang siswi telah membuat perkongsian peribadi dengan mesej utama bahawa walaupun datang daripada keluarga miskin di pedalaman, hakikatnya masih ada peluang untuk berjaya dengan cemerlang.

Diharapkan agar program khidmat masyarakat begini dapat mengukuhkan lagi kefahaman para pelajar yang terlibat terhadap subjek sekali gus mengaplikasikan kepentingan pembelajaran dewasa dalam kehidupan seharian. Pembelajaran dewasa ini jelas sekali tidak terhad kepada organisasi semata bahkan dapat diimplementasikan kepada masyarakat bersama.

Sebahagian daripada reruai Pembelajaran Dewasa
Sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan di SUB

Explore More