July 5, 2025

Perpustakaan UTM Kuala Lumpur perkasakan komuniti melalui seni kraf fabrik felt

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan pendukung pendidikan sepanjang hayat menerusi penganjuran Bengkel Fabrik Felt (Craft Felt) yang diadakan di Library X-Change Hub, Aras 2, Bangunan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Program ini menyasarkan komuniti setempat dengan objektif memperkenalkan seni kraf fabrik felt sebagai medium untuk mengembangkan kreativiti serta membina kemahiran yang berpotensi menjana pendapatan.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti Selandar, Melaka selaku rakan pelaksana dan penyedia fasilitator bengkel. Kolaborasi ini merupakan usaha berterusan memperkukuh jaringan antara institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan teknikal serta vokasional dalam memartabatkan pembangunan komuniti melalui perkongsian sumber dan kepakaran.

Peserta bengkel terdiri daripada penduduk sekitar dan staf UTM, hadir menunjukkan minat terhadap seni fabrik felt

Bengkel ini direka khusus untuk memberi pendedahan asas kepada peserta mengenai teknik menghasilkan produk fabrik felt – bermula dari pemilihan bahan, teknik pemotongan dan jahitan, hinggalah ke proses akhir untuk menyerlahkan nilai estetika produk. Keseluruhan aktiviti dilaksanakan secara praktikal dengan pendekatan hands-on dan bimbingan terus daripada tenaga pengajar berpengalaman Kolej Komuniti Selandar.

Sambutan yang diterima daripada komuniti setempat sangat memberangsangkan, terutamanya penduduk dari kawasan Desa Rejang dan Sri Semarak. Mereka terlibat secara aktif sepanjang bengkel, menzahirkan minat yang tinggi terhadap seni kraf serta keinginan untuk mempelajari kemahiran baharu yang berpotensi memberi nilai ekonomi.

Peserta tekun menghasilkan produk dengan bimbingan tenaga pengajar.
Pelbagai produk fabrik felt dihasilkan oleh peserta mengikut kreativiti masing-masing

Pada akhir bengkel, peserta berpeluang mempamerkan hasil kreatif mereka – menampilkan pelbagai rekaan aksesori dan hiasan yang unik. Pameran ini bukan sahaja menjadi platform penilaian kendiri terhadap hasil kerja seperti nilai estetika dsn fungsi, malah membuka ruang kepada potensi pemasaran kecil-kecilan. Selain itu, bengkel turut menyentuh aspek terapeutik seni fabrik felt yang dapat membantu dalam kesejahteraan emosi dan kesihatan mental peserta.

Penganjuran bengkel ini juga seiring dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti dan SDG 11, Bandar dan Komuniti Lestari. Ia membuktikan komitmen Perpustakaan UTM dalam menyediakan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif, menyeronokkan dan bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Pameran hasil kreatif peserta yang menampilkan rekaan unik dan pelbagai fungsi

Selaras dengan peranan perpustakaan moden, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur bukan sekadar pusat rujukan akademik, bahkan berfungsi sebagai agen perubahan sosial dan pemacu pembangunan komuniti. Inisiatif seperti ini memperlihatkan peranan pustakawan sebagai fasilitator pembelajaran tidak formal, sekali gus memperkukuh kemahiran insaniah dan teknikal dalam kalangan peserta.

Kolaborasi strategik bersama Kolej Komuniti Selandar memperkukuh usaha membina kemahiran komuniti

Kerjasama erat bersama Kolej Komuniti Selandar juga menyumbang kepada pengukuhan aspirasi ISES (Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian) UTM yang menekankan sinergi rentas institusi dalam menyampaikan impak yang berkesan kepada masyarakat. Program ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperluas akses kepada ilmu, memperkasa komuniti dan memastikan perpustakaan kekal relevan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat secara inklusif.

Explore More