June 13, 2025

Khidmat Komuniti Lestari 2025 perkukuh jalinan UTM dan komuniti Taman Desa Idaman

SENAI, 2 Jun – Seramai 50 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), staf pengiring dan komuniti setempat telah menyertai program Khidmat Komuniti Lestari 2025 anjuran Kelab EcoChamps, Kolej Tuanku Canselor, bertempat di Taman Desa Idaman, Senai, Johor.

Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar universiti dan masyarakat melalui penglibatan langsung dalam aktiviti kelestarian, di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial serta semangat kerja berpasukan. Program sehari ini turut mendapat kerjasama daripada Rukun Tetangga Taman Desa Idaman serta sokongan komuniti kebun bandar D’Greens@Idaman.

Setibanya di lokasi program, peserta disambut dengan jamuan sarapan sebelum menerima taklimat ringkas daripada pengarah program. Aktiviti diteruskan dengan sesi suai kenal antara peserta dan komuniti setempat serta tinjauan kawasan kebun yang akan dibersihkan bersama. Aktiviti utama dijalankan secara bergilir mengikut kumpulan.

Gotong-royong dijalankan secara menyeluruh dan merangkumi pembersihan laluan kebun, pembuangan dan pemindahan pokok dari bekas tayar, pembuangan tanaman fertigasi yang rosak, serta pengumpulan tayar terpakai untuk dikitar semula. Selain itu, peserta turut melaksanakan kerja penggemburan tanah dan penanaman semula menggunakan sistem hidroponik. Semua tugasan disempurnakan dengan penuh kerjasama antara mahasiswa dan penduduk setempat.

Gotong-royong penebangan pokok, pemindahan pokok dari bekas tayar, penggemburan tanah dan pembersihan kawasan tanaman bersama komuniti
Pembersihan laluan kebun, pembuangan tanaman fertigasi rosak, pengumpulan tayar terpakai dan penanaman sistem hidroponik oleh peserta dan komuniti

Menurut Pengarah Program, Teja Kristina Ezzuan Kelana, program ini menjadi platform terbaik untuk pelajar mempelajari nilai kerja komuniti secara langsung. “Melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat memahami realiti kehidupan masyarakat setempat, dan dalam masa yang sama menyumbang tenaga ke arah kesejahteraan alam sekitar,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, semangat tolong-menolong dan komunikasi terbuka antara peserta dan komuniti amat ketara. Kesungguhan dalam menyelesaikan tugasan mencerminkan keakraban yang terjalin dan kefahaman bersama terhadap matlamat kelestarian.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti yang diketengahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam aspek membina komuniti mampan, mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, serta memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan masyarakat.

Sebagai tanda penghargaan, pihak UTM turut menyampaikan cenderahati kepada komuniti kebun D’Greens@Idaman. Program Khidmat Komuniti Lestari 2025 ini menjadi manifestasi peranan aktif mahasiswa dalam menjayakan agenda pemerkasaan komuniti, bukan sekadar melalui sumbangan tenaga fizikal, malah menerusi penglibatan intelektual yang mendekatkan mereka dengan realiti akar umbi. Pendekatan yang bersifat menyeluruh ini bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial antara institusi dan masyarakat, malah mencerminkan komitmen berterusan terhadap nilai kelestarian yang bersandarkan tindakan bersama dan kesedaran kolektif.

Penyampaian cenderahati daripada pihak UTM kepada komuniti kebun bandar D’Greens@Idaman
Sesi bergambar ahli Kelab EcoChamps bersama komuniti Taman Desa Idaman

Explore More