July 5, 2025

Kelab PEMADAM UTM laksana PKBD 2025 demi komuniti bebas dadah

BACHOK, 14 Jun – Program Komuniti Bebas Dadah (PKBD) anjuran Kelab PEMADAM Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama rakan strategik seperti PEMADAM Kebangsaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa telah berjaya dilaksanakan di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan, dengan penglibatan sekitar 400 penduduk setempat.

Bertemakan pencegahan penyalahgunaan DARVIH (Dadah, Alkohol, Rokok, Vape, Inhalan, dan HIV/AIDS), pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dianjurkan termasuk ceramah, sesi interaktif, edaran risalah, pertandingan mewarna, sukan rakyat, dan program plogging. Program ini menekankan pendekatan holistik dalam usaha meningkatkan kesedaran awam serta membina komuniti yang sihat dan berdaya tahan melalui sinergi pelbagai pihak.

Sesi ceramah berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan memperkukuh pemahaman tentang bahaya penyalahgunaan bahan terlarang dari sudut kesihatan, undang-undang, moral dan kerohanian. Pendekatan menyeluruh ini memberi impak mendalam kepada peserta di samping membuka ruang dialog dua hala untuk perkongsian pengalaman dan sesi soal jawab secara terbuka. Ceramah ini bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi turut menggalakkan penglibatan aktif komuniti dan mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan masyarakat dalam usaha pencegahan dadah yang menyeluruh.

Sesi ceramah penuh pengisian bermanfaat disampaikan oleh Ketua Unit Pencegahan AADK Daerah Bachok, Mohd Azizi Alias

PKBD turut mendapat liputan secara langsung menerusi siaran RTM melalui sesi temu bual bersama Pengarah Program, Chua Jeng Yit. Beliau menekankan bahawa PKBD bukan sekadar program advokasi, tetapi satu inisiatif pendidikan komuniti berasaskan pengalaman. Aktiviti seperti sukan rakyat, ceramah dan sesi plogging “Trash to Treasure” terbukti berkesan menyemai nilai hidup sihat dan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Liputan media arus perdana mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan mahasiswa dalam pencegahan penyalahgunaan DARVIH, sekali gus memperkasakan suara anak muda sebagai agen perubahan ke arah masyarakat bebas dadah.

Pengarah Program Komuniti Bebas Dadah (PKBD), Chua Jeng Yit, ditemu ramah oleh wartawan RTM

Program ini turut melibatkan aktiviti interaktif di MRSM Pengkalan Chepa seperti Parlimen Mini, sesi bual santai dan Bulatan Cinta, yang berjaya membentuk jati diri pelajar sebagai agen perubahan. Program ini menggalakkan pemikiran kritis, ekspresi emosi, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam suasana santai namun bermakna, serta membantu pelajar memahami bahaya dadah dari akar umbi. Di Dataran MARA pula, aktiviti interaksi komuniti seperti bual mesra, kuiz dan tayangan video telah berjaya menyampaikan mesej pencegahan dadah secara kreatif dan inklusif.

Pelaksanaan aktiviti bersama 240 pelajar MRSM Pengkalan Chepa

Penglibatan mahasiswa UTM di Uptown Dataran MARA melalui edaran risalah, tayangan video anti dadah, serta sesi kuiz dan temu bual telah berjaya menarik perhatian masyarakat dengan pendekatan santai dan mesra komuniti. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang bahaya DARVIH, tetapi juga mendorong interaksi dua hala yang lebih efektif dalam menyampaikan mesej pencegahan dadah. Sambutan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan penerimaan inisiatif ini dan menyokong pembentukan komuniti yang sihat, peka, dan bebas dadah.

Sesi bual mesra dan penghasilan video bersama pengunjung di Dataran MARA, Kota Bharu

Aktiviti di Pantai Senok termasuk plogging, edaran risalah, dan sesi “Trash to Treasure” turut mendapat sambutan memberangsangkan. Pendekatan santai dan interaktif berjaya menarik perhatian pengunjung sambil menyampaikan mesej penting tentang bahaya DARVIH dan kepentingan penjagaan alam sekitar melalui amalan kitar semula. Penglibatan aktif mahasiswa UTM, penduduk tempatan dan agensi berkaitan membuktikan kejayaan pendekatan menyeluruh dalam mendidik masyarakat tentang pencegahan penyalahgunaan bahan serta pembentukan komuniti yang berdaya tahan dan bertanggungjawab.

Mahasiswa Kelab PEMADAM menyantuni pengunjung dengan edaran risalah anti dadah di Pantai Senok, Bachok

Explore More