June 7, 2025

Kejuruteraan awam mengangkat martabat dalam arus kelestarian global

Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh peranannya dalam mendepani cabaran kelestarian global menerusi Forum Wacana Intelektual MADANI Siri 4/2025 yang diadakan pada 4 Jun 2025 dengan tema “Kejuruteraan Awam: Pemangkin Pembangunan Mampan dan Kesihatan Planet”.

Bertempat di  Smart Classroom Siti Hamisah Tapsir, Blok D02, forum ini merupakan inisiatif berimpak tinggi hasil kolaborasi antara FKA dan Majlis Profesor UTM, yang mempelopori platform intelektual ini sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh peranan akademia dalam isu strategik nasional.

Forum ini menampilkan dua tokoh unggul dalam dunia kejuruteraan – Prof. Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, masing-masing bekas penggerak dasar pendidikan tinggi dan mantan Naib Canselor UTM yang telah menyumbang secara signifikan terhadap hala tuju pendidikan kejuruteraan negara.

Moderator forum, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din memimpin sesi ini secara dinamik, membimbing diskusi mendalam merangkumi aspek teknikal, dasar, kesejahteraan komuniti, dan impak jangka panjang kejuruteraan awam terhadap kesihatan planet. Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Suhaimi Abu Bakar, Dekan FKA UTM. Turut hadir ialah Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi Majlis Profesor UTM, bersama dekan-dekan fakulti dan pegawai kanan universiti.

Kejuruteraan awam dalam pembentukan infrastruktur negara dan ketahanan alam sekitar

Slot pertama forum menyentuh isu asas dan fundamental, bagaimana kejuruteraan awam hari ini perlu melangkaui sekadar pembinaan fizikal. Sebaliknya, ia harus mengintegrasikan perancangan infrastruktur mampan yang tahan dalam persekitaran yang terus berubah akibat perubahan iklim, tekanan urbanisasi dan kekangan sumber semula jadi.

Prof. Siti Hamisah menekankan bahawa pembangunan kejuruteraan masa kini mesti bersifat holistik, rentas sektor dan berfokus masa depan. Menurut beliau, penekanan kepada infrastruktur hijau, konsep resilient cities, serta kesaksamaan akses kemudahan asas antara bandar dan luar bandar merupakan agenda utama ke arah negara berdaya tahan.

Sementara itu, Prof. Wahid Omar menekankan pentingnya penggunaan bahan inovatif dan binaan rendah karbon yang perlu digarap secara agresif oleh sektor akademik dan industri. Merujuk pengalamannya mengurus projek UTM Residensi yang berjaya mengurangkan kos sebanyak 10% daripada jangkaan awal, beliau menyeru agar sains bahan seperti konkrit hijau, struktur modular dan sistem binaan berindustri (IBS) diperkasa untuk mempercepatkan pembinaan sambil mengurangkan jejak karbon. “Kejuruteraan awam perlu keluar daripada kepompong konservatif, dan berani mencabar norma demi kelestarian,” tegasnya.

Perbincangan turut menyentuh Dasar Kejuruteraan Hijau Malaysia, Dasar Perubahan Iklim, dan RMK12 yang menuntut penyepaduan antara pembangunan dan kelestarian sebagai norma, bukan pilihan. Kedua-dua panel bersetuju bahawa prinsip kelestarian perlu diarusperdanakan ke dalam kurikulum dan penyelidikan, demi melahirkan jurutera yang memiliki eco-literacy dan kepekaan sosial yang tinggi.

Inovasi teknologi dan strategi masa depan dalam menjamin kesihatan planet

Slot kedua menelusuri keupayaan teknologi moden sebagai pemacu kepada sistem infrastruktur mampan. Prof. Siti Hamisah menyebut teknologi seperti Building Information Modelling (BIM), Digital Twin, IoT dan AI sebagai game changer dalam kejuruteraan awam. Beliau menyeru agar universiti menjadi pusat pengujian dan pematangan teknologi sebelum diperluaskan dalam sektor pembinaan negara.

Prof. Wahid pula menekankan keperluan sistem pemetaan bawah tanah, takungan pintar dan amaran awal banjir yang kini menjadi semakin mendesak. Beliau melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan penyelidikan praktikal dan kolaborasi rentas disiplin yang menyebabkan inovasi terus kekal di makmal. Menurutnya, bidang kebitaraan di FKA seperti eSEER, GeoHazard dan sistem ramalan hidrologi yang sedang dibangunkan UTM wajar disokong secara nasional.

Ketika ditanya tentang graduan kejuruteraan awam masa depan, kedua-dua panel bersetuju bahawa pelapis baharu mesti diasuh dengan pemikiran Green Engineering – iaitu pemikiran yang menyepadukan keperluan teknikal dengan pertimbangan ekologi dan sosial. Ini termasuk kesedaran risiko bencana, keterlibatan masyarakat dalam reka bentuk infra, serta pematuhan kepada indikator ESG (Environmental, Social, Governance).

Majlis Profesor UTM turut diketengahkan sebagai institusi yang menggalas tanggungjawab merangka agenda keilmuan transformatif, merentas bidang dan berpandangan jauh. Melalui siri wacana ini, Majlis Profesor UTM telah berjaya mencipta ruang berimpak tinggi dalam memperkukuh integrasi antara dasar pembangunan nasional dan pengetahuan akademik terkini.

Menyemai kepimpinan teknokratik yang bertanggungjawab

Sesi akhir membuka wacana reflektif: Apakah bentuk masa depan yang ingin dibentuk oleh jurutera awam?

Prof. Siti Hamisah menegaskan bahawa jurutera bukan sekadar pembina, tetapi pencipta nilai dan penjaga ekosistem sosial serta semula jadi. Beliau menyeru agar bidang kejuruteraan kembali kepada asas tanggungjawab sosial – membina bukan hanya struktur fizikal, tetapi juga struktur keadilan dan kesejahteraan.

Prof. Wahid Omar pula menekankan bahawa dalam era pascakrisis dan perubahan iklim, jurutera awam harus tampil sebagai guardian of sustainability – memimpin dasar, teknologi dan komuniti ke arah keseimbangan jangka panjang. Beliau turut mencadangkan agar Dasar Kejuruteraan Awam Lestari diwujudkan di peringkat nasional, bagi menyelaras segala inisiatif akademik, perindustrian dan dasar ke arah satu hala tuju yang lestari.

Dalam konteks UTM, tagline “Sustainable Innovation Solution” dilihat sangat relevan sebagai teras pembangunan pelapis baharu jurutera masa depan. Melalui FKA, UTM bukan sahaja memperkukuh kapasiti teknikal melalui penyelidikan berimpak tinggi, tetapi turut menanamkan green mindset dalam setiap peringkat pembelajaran dan amalan profesional. Kursus Green Infrastructure, program ESG & SDG in Engineering, serta penglibatan dalam projek komuniti menjadikan FKA sebagai model pendidikan kejuruteraan berasaskan kelestarian.

Membina ekosistem kejuruteraan untuk planet yang sihat

Wacana Intelektual MADANI Siri 4/2025 membuka ruang kepada perbincangan jujur dan progresif tentang cabaran serta tanggungjawab kejuruteraan awam dalam dunia yang semakin kompleks dan terancam. Kejuruteraan kini bukan lagi semata-mata soal pembinaan struktur, tetapi tentang membentuk masa depan yang lestari, adil dan sihat untuk semua.

Dengan sokongan padu Majlis Profesor UTM, kepakaran akademik tokoh-tokoh negara, dan komitmen UTM terhadap kelestarian, forum ini bukan sekadar medan wacana – tetapi juga medan tindakan. Tindakan untuk melahirkan generasi jurutera yang bukan sahaja cemerlang secara teknikal, tetapi juga menjunjung nilai kemanusiaan yang tinggi.

UTM, melalui inisiatif ini, terus memacu peranan sebagai institusi peneraju yang menyediakan Sustainable Innovation Solution demi kesejahteraan sejagat dan kesihatan planet.

Oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Exco Majlis Profesor UTM merangkap Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (UTMCS)

Explore More