June 27, 2025

Setiap tahun umat Islam menyambut kedatangan tahun baru Islam. Namun, ada yang bertanya mengapa tahun baharu Islam bermula dengan bulan Muharram, sedangkan tarikh hijrah Nabi Muhammad SAW berlaku pada bulan Safar? Apakah pula pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa hijrah dan bagaimanakah ia releven dengan masa kini?

Sebenarnya penetapan takwim Islam berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar ibn Al-Khattab RA. Diberitakan pernah suatu ketika, Abu Hurairah RA mengutuskan surat kepada Khalifah dengan menulis; “Berlaku pada bulan Rejab”. Maka dijawab semula oleh Khalifah; “Pada bulan Rejab yang mana satu? Tahun lepas atau tahun sebelumnya?”. Disebabkan itu, Khalifah Umar memikirkan perlu diwujudkan takwim Islami yang turut meletakkan tahun kejadian. Lalu diadakan perbincangan bagi menetapkan kiraan tahun takwim Islam. Beberapa cadangan telah dikemukakan, antaranya untuk mengikut kiraan tahun orang Rom dan Parsi, tahun kelahiran Nabi SAW, tahun Israk dan Mikraj, tahun bermulanya penurunan al-Quran, tahun kewafatan Nabi SAW dan tahun berlaku peristiwa hijrah Nabi SAW. Khalifah Umar memilih kiraan takwim Islam bermula dari tahun terjadinya peristiwa hijrah pada tahun 622 Masihi. Alasan yang diberikan adalah kerana kesan dari peristiwa hijrah menyebabkan umat Islam mula memiliki sistem kenegaraan. “Sesungguhnya hijrah ialah peristiwa yang membezakan antara hak dan batil, maka kita kira tahun Islam bermula daripada peristiwa hijrah”, tambah Khalifah Umar.

Walaupun Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah pada 26 Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabi’ulawal, tetapi telah ada para sahabat telah mula berhijrah sebelum baginda. Khalifah Umar Al-Khattab dengan persetujuan para sahabat menetapkan bulan Muharram sebagai permulaan bulan kerana mengambil kira bulan Zulhijjah sebagai penamat bagi tahun takwim Islam setelah umat Islam selesai melaksanakan fardhu haji. Lalu, bulan Muharram menjadi permulaan yang baharu setelah umat Islam disucikan dari dosa kesan dari pelaksanaan ibadah haji.

Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa hijrah dan apa yang paling penting adalah kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang menjadi faktor utama kejayaan misi hijrah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 30 yang bermaksud; “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”. Ayat ini menjelaskan keyakinan Nabi Muhammad SAW bahawa Allah SWT akan sentiasa membantunya walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian yang amat getir dari musuh-musuh Islam.

Antara ciri kepimpinan Baginda yang boleh dijadikan teladan, iaitu sifat tahan diuji, sabar, yakin, pemaaf, berpandangan jauh, strategik, kasih sayang, dan tidak dipengaruhi oleh emosi yang negatif. Persoalannya, bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh memiliki kepimpinan yang luar biasa, siapakah yang mengajar Nabi SAW? Malah, Baginda merupakan seorang anak yatim piatu yang tidak pernah memasuki sistem persekolahan, apa lagi menuntut ilmu di menara gading?

Sebenarnya, inilah keistimewaan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia terbaik pilihan Allah SWT kerana baginda mendapat didikan dan bimbingan langsung daripada Allah SWT. Nabi SAW bersabda; “Allah telah mendidik aku, maka Dia menjadikan pendidikanku yang terbaik”.

Nabi Muhammad SAW telah meletakkan syarat bertulis dalam Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua untuk mentaati Baginda. Nabi SAW juga menetapkan ketaatan kepada Baginda sebagai Ketua Negara dalam Piagam Madinah. Perkara ini bukan sahaja diakui oleh para ulama Islam, malah sarjana Barat juga tidak menafikannya. Prof. William Montgomery Watt (1961) dalam karyanya, Muhammad: Prophet and Statesman menegaskan Nabi Muhammad SAW adalah seorang anak yatim yang tidak pernah mengikuti latihan atau kursus, tetapi berjaya menghasilkan peradaban dunia disebabkan Baginda mendapat wahyu daripada Tuhan. Prof. Montgomery Watt menegaskan dokumen Piagam Madinah adalah bukti sahih kehebatan Nabi SAW.

Robert N. Bella melalui karyanya Beyond Belief (1976) menyatakan Nabi Muhammad SAW telah membuat jangkauan yang amat jauh ke hadapan. Dimulai dengan permulaan berdirinya negara Madinah berasaskan Piagam Madinah telah melahirkan ketamadunan melangkaui zaman dan tempatnya adalah sangat moden. Jimly Assiddiqie, (2007) Ketua Mahkamah Perlembagaan Republik Indonesia mengatakan bahawa Piagam Madinah merupakan kontrak sosial bertulis pertama di dunia yang dapat disamakan dengan Perlembagaan moden hasil dari amalan nilai-nilai demokrasi. Ia terjadi pada abad ke-6 Masihi di saat Eropah masih berada dalam abad kegelapan. Jelasnya, peristiwa hijrah meninggalkan impak besar dalam membangun umat madani yang bertamadun.

Pada hari ini hijrah terus kekal relevan dan memberikan inspirasi untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh ialah kisah yang terjadi kepada Ahmad Dawjee Dadabhoy. Beliau dilahirkan di Gujerat India pada tahun 1907 dan merupakan ahli perniagaan yang dermawan yang sering merantau ke banyak negara. Pada tahun 1940-an, beliau memilih untuk berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Pada penghujung usianya, beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya termasuk sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur. Beliau telah meninggal dunia pada 24 Januari 1987 dan harta wakafnya telah diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

MAIWP telah melakukan kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk membangunkan tanah wakaf tersebut. LTH sebagai pemaju membiayai 100% dan BIMB menjadi penyewa utama. Hasil daripada pajakan selama 25 tahun, MAIWP mendapat pulangan sebanyak RM56.6 Juta. Nilai tanah wakaf tersebut telah melonjak dari RM34 Juta kepada RM151 Juta setelah dibangunkan menjadi bangunan Menara Bank Islam yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Oktober 2011. Wakaf Ahmad Dawjee adalah contoh inovasi dan penambahbaikan berterusan. Walaupun asalnya sistem wakaf sudah berusia ribuan tahun, tetapi ia dapat disesuaikan dengan realiti dan keperluan semasa. Ia telah berjaya menaikkan nilai tanah wakaf hampir lima kali ganda, dan dapat memberikan pulangan manfaat berpuluh juta ringgit serta ia menjadi imej mercu syiar kejayaan Islam.

Kesimpulannya, hijrah bukan sekadar penceritaan sejarah, tetapi ia adalah perjuangan dan penambahbaikan yang berterusan.  kedua, ntuk terus kekal relevan dan signifikan, umat Islam hendaklah berani untuk membuat perubahan dan bertindak proaktif sebagaimana prinsip universiti ini yang sentiasa berusaha menginovasi penyelesaian lestari. Ketiga, pendidikan boleh mengubah nasib umat dan dapat membangunkan umat madani.

Explore More