JOHOR BAHRU, 30 Mei – Fiesta Gegar Razak 2025 (FIGURA’25) kembali menggegarkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila berlangsung dengan penuh meriah selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di Kolej Tun Razak (KTR). Memasuki edisi ke-11 sejak diperkenalkan pada tahun 2014, FIGURA terus menjadi platform yang mengangkat nilai keusahawanan, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa UTM.
Diterajui oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KTR, FIGURA’25 menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 500 pengunjung dari dalam dan luar kampus. Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik termasuk UTM Holdings, UTM International, Pusat Islam, ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd., Jal Store, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan The Baba Events.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memupuk budaya keusahawanan sebagai tunjang kepada Visi Maju Johor 2030, dan memperkenalkan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kepada para hadirin.
“Saya amat berbangga melihat kesungguhan mahasiswa UTM dalam menjayakan acara seperti ini. Ia mencerminkan semangat generasi muda yang bukan sahaja kreatif dan berani mencuba, tetapi juga memahami nilai kolaborasi serta pembangunan komuniti yang inklusif,” ujar beliau.


Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, yang turut menyatakan penghargaan kepada seluruh warga pelajar atas penganjuran yang cemerlang.
“FIGURA bukan sekadar satu program, ia adalah pentas yang mencerminkan potensi sebenar mahasiswa UTM – dari segi kepimpinan, semangat kerja berpasukan, serta keberanian meneroka sempadan baharu dalam seni dan keusahawanan,” katanya.
Mengangkat tema “Integrasi Seni dan Budaya”, FIGURA’25 menampilkan pelbagai aktiviti berwarna-warni. Antara acara menarik ialah bacaan Yasin, Sembang @ Razak, Pesona Warisan, Amali Sembelihan, kempen derma darah, Mobile Legend Open Tournament 2.0, Resipi Dulu-dulu bersama ADABI, Sukan Rakyat, Kueh Run, Sarong Frisbee, dan Razak Got Talent.


Bukan itu sahaja, lebih 20 reruai jualan memeriahkan suasana FIGURA’25 melalui penyertaan peniaga tempatan dan pelajar UTM sendiri. Pelbagai produk ditawarkan termasuk makanan, pakaian, kraf tangan dan aksesori – menjadikan bazar ini sebagai platform keusahawanan yang nyata buat mahasiswa.
Kemuncak program turut diserikan dengan persembahan khas oleh artis jemputan, Muhammad Khairussani Fadzil, atau lebih dikenali sebagai Khai Sani, menerusi segmen penutup Razak Buskers.

Program berskala besar ini bukan sekadar ruang eksplorasi bakat dan budaya, malah membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran pengurusan dan kepimpinan. FIGURA’25 membuktikan bahawa sinergi antara tradisi dan inovasi mampu melahirkan generasi pelajar yang progresif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Sekalung penghargaan ditujukan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur, para sukarelawan serta rakan kolaborasi yang telah menyumbang kepada kejayaan FIGURA’25. Dengan semangat kerjasama dan komitmen tinggi, edisi 2025 ini telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam penganjuran program mahasiswa di peringkat kolej. Saya percaya kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada program-program akan datang,” ujar Nurfitri Shahirah, Pengarah Program.
Melangkah ke hadapan, kejayaan FIGURA’25 membuktikan bahawa potensi mahasiswa bukan sahaja terserlah dalam pencapaian akademik, malah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kampus yang memupuk jati diri, semangat komuniti dan rasa tanggungjawab sosial.
Dengan kolaborasi merentas sektor termasuk universiti, kerajaan, industri dan komuniti, FIGURA’25 memperlihatkan bagaimana pendekatan bersepadu mampu memberikan impak yang jauh lebih besar kepada pembangunan pelajar. Melalui pengalaman langsung ini, mahasiswa dapat mengembangkan jaringan profesional dan memahami realiti sebenar dunia luar. FIGURA bukan sekadar satu acara, tetapi sebuah legasi yang mencerminkan daya saing mahasiswa UTM.
Oleh Amirul Azan Mohd Sufian dan Insyirah Ash’ari