JOHOR BAHRU, 24 Jun – Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) merupakan satu inisiatif unik di negeri Johor dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak Johor dalam mendepani pembangunan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Bengkel Perancangan PdPC STEM Sekolah Rintis Bangsa Johor telah diadakan pada 23 dan 24 Jun 2025 bertempat di Bilik Seminar FEST, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. Program anjuran FEST dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) ini bertujuan membimbing 20 orang guru daripada empat SRBJ dalam merancang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran STEM yang berimpak di sekolah masing-masing. Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada siri latihan terdahulu bersama pakar dari FEST UTM, National Institute of Education (NIE) International dan James Dyson Foundation yang telah dilaksanakan pada Februari dan April 2025.

Program dua hari ini diketuai oleh Prof. Dr. Fatin Aliah Phang yang juga merupakan pakar pendidikan STEM di UTM. Objektif utama bengkel ini adalah untuk membimbing guru-guru SRBJ dalam mengenal pasti pendekatan PdPc STEM yang berkesan, serta mereka bentuk dan menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) serta Bahan Bantu Mengajar (BBM) berasaskan pendekatan yang telah dipelajari dalam kursus pendidikan STEM sebelum ini di bawah program upskilling guru-guru STEM SRBJ. Guru-guru juga membentangkan hasil kerja mereka dan dikongsikan kepada semua guru STEM SRBJ.

Sepanjang bengkel, guru-guru daripada empat buah sekolah rintis iaitu SK Seri Kota Puteri 4, SK Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2, dan SMK Tasek Utara telah menghasilkan sebanyak 16 RPH dengan menggunakan pelbagai pendekatan pengajaran seperti model 5E, inkuiri, pembelajaran kolaboratif, model CPA, pembelajaran kontekstual dan berasaskan permainan yang merentas subjek Sains dan Matematik, di samping menghasilkan BBM kreatif, kontekstual dan berbentuk hands-on.

Bengkel turut disokong oleh kehadiran pegawai dari JPNJ serta empat orang Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dari PPD Pasir Gudang dan PPD Johor Bahru. Seramai empat fasilitator daripada UTM juga terlibat secara langsung dalam memudah cara aktiviti sepanjang program berlangsung. Para peserta menyatakan bahawa bengkel ini memberi mereka banyak input baharu dan meningkatkan kefahaman mereka tentang aplikasi pendekatan PdPc STEM yang lebih berimpak dan berpusatkan murid.
Bengkel ini turut dihadiri Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya yang menekankan komitmen FEST dalam menyokong pelaksanaan inisiatif SRBJ melalui kepakaran akademik yang dimiliki. FEST juga telah mula terlibat dengan perancangan SRBJ ini sejak Jun 2024 sehingga kini dengan penglibatan seramai lima orang pensyarah FEST.

Sementara itu, Tuan Haji Mohd Dom Bin Dui, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran JPNJ, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak FEST atas usaha berterusan dalam membimbing guru-guru SRBJ, khususnya dalam merealisasikan transformasi pendidikan STEM negeri Johor.

Susulan daripada bengkel ini, beberapa orang pensyarah pendidikan STEM dari FEST UTM dengan kerjasama JPNJ akan meneruskan sesi bimbingan dan penyeliaan klinikal kepada guru-guru STEM SRBJ selepas ini di empat sekolah berkenaan. Usaha ini diharap dapat menambah baik pdpc guru-guru STEM SRBJ yang akhirnya berupaya meningkatkan lagi pencapaian dan penyertaan murid-murid SRBJ dalam pakej STEM nanti.