JOHOR BAHRU, 14 Jun – Pasukan bola sepak MAKSAK Johor sekali lagi dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) peringkat Kebangsaan 2025 selepas kali terakhir memenangi kejohanan sama pada tahun 2021.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini pada 12 hingga 14 Jun, pasukan Johor berjaya menewaskan satu lagi gergasi bola sepak tempatan iaitu pasukan bola sepak MAKSAK dari Selangor dalam perlawanan akhir yang sengit. Kedua pasukan menampilkan intensiti dan mutu permainan yang tinggi dimana pemenang akhirnya terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah kehadiran seorang pemain tonggak UTM FC, Faezel Abd. Hamid, yang turut sama membarisi pasukan juara MAKSAK bola sepak 2025 ini.

Ketika ditemui di pejabat beliau di Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini, Faezel, yang juga merupakan kapten bagi pasukan senior UTM FC, menyatakan tentang kualiti keseluruhan pasukan yang bertanding yang semakin meningkat setiap tahun. Beliau berkata “Kebanyakan pasukan telah lebih maklum akan kualiti permainan yang tinggi di peringkat MAKSAK Kebangsaan. Ini menyebabkan boleh dikatakan hampir kesemua pasukan telah melakukan persediaan awal untuk membentuk pasukan yang mantap”.
Tambah beliau lagi “Walau bagaimanapun, persediaan rapi pasukan MAKSAK Johor serta faktor pengalaman dan keserasian sesama pemain telah berjaya menyumbang terhadap kejayaan pasukan Johor pada edisi kali ini”.
Pihak pengurusan turut telah mengambil langkah lebih awal untuk menyiapkan pasukan melalui penganjuran beberapa siri perlawanan persahabatan (bagi tujuan saringan dan pemilihan pemain) serta penyertaan pasukan yang telah dibentuk dalam kejohanan liga tempatan di Johor Bahru. Semasa tempoh ini, keupayaan pasukan bola sepak MAKSAK Johor diukur lebih kepada keserasian para pemain bermain sebagai satu pasukan, berbanding keputusan kalah-menang perlawanan.
Kejayaan manis yang diperolehi pasukan bola sepak MAKSAK Johor dalam Kejohanan Bola Sepak MAKSAK peringkat Kebangsaan 2025 ini merupakan satu bukti langsung terhadap kejayaan pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan pasukan. Kejayaan ini sememangnya sesuatu yang dibanggakan oleh penjawat awam di Johor secara amnya, dan UTM secara khususnya.
Sebagai rekod, pasukan bola sepak MAKSAK Johor dibarisi oleh 20 orang pemain daripada pelbagai jabatan dan agensi negeri Johor, dengan penyertaan terbesar daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) seramai lapan orang pemain. Turut bersama menjayakan pasukan adalah enam orang pegawai pengurusan yang mana salah seorang darinya adalah juga bekas pemain utama pasukan bola sepak MAKSAK Johor iaitu Muhammad Fitri Amir Ramli dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang bertindak sebagai pegawai fisioterapi rasmi pasukan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Faezel Abd. Hamid atas sumbangan cemerlang bersama pasukan bola sepak MAKSAK Johor. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada semua staf di UTM untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan sehari-hari seterusnya lebih cemerlang dalam perkhidmatan di UTM dan kekal sejahtera bersama keluarga.
