June 25, 2025

Bual Bicara Tort santuni isu kehidupan strata secara adil dan profesional

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan kerjasama Kolej Tun Fatimah (KTF), telah berjaya menganjurkan program bual bicara khas bertajuk “Tort dalam Konflik Strata” pada 22 Jun 2025. Bertempat di Dewan Serbaguna, Sri Pahlawan A, Pangsapuri Sri Saujana, Johor Bahru, program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pemahaman mendalam tentang undang-undang tort dalam menangani konflik yang sering timbul dalam komuniti strata. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 11, Bandar dan Komuniti Lestari serta SDG 16, Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kuat.

Program ini telah dilaksanakan oleh pelajar separuh masa dari Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE), dari kursus SBET1063 (Undang-Undang Kontrak, Tort dan Agensi), serta diketuai oleh Dr. Aminah Mohsin. Sebagai salah satu program Pembelajaran Perkhidmatan Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM) UTM, acara ini turut mendapat tajaan daripada pelbagai pihak, termasuk EXCO Perumahan, YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor, dan firma guaman Fatin Rosle & Partners Advocates & Solicitors.

Menurut Dr. Aminah Mohsin, yang juga merupakan moderator bual bicara khas, program ini membincangkan isu tort dalam konflik strata secara ringan, santai, namun padat dan bermanfaat. Konflik seperti gangguan bunyi bising jiran, kebocoran paip dari unit sebelah, atau kerosakan kereta di parkir yang tidak dipantau adalah isu biasa di kediaman bertingkat seperti kondominium, apartmen, dan flat. Para panel turut menegaskan bahawa undang-undang tort memainkan peranan penting dalam menentukan pihak yang bersalah, hak penghuni yang teraniaya, dan pihak yang bertanggungjawab dalam isu-isu ini.

Program bual bicara ini menampilkan empat orang panel yang arif dan berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Siti Zubaidah Helmaterlidi, Pegawai Undang-Undang dari Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Saifful Nazmi Mohd Zain, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Sri Pahlawan C, Pangsapuri Sri Saujana; Amy Kamaruddin, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); serta Nur Fatin Inani Mohd Zulkifli, Peguam, Tetuan Wang & S.B Wong.

Barisan panel bual bicara

Sesi bual bicara dibahagikan kepada dua sidang utama yang merangkumi lapan slot perbincangan. Topik yang dibincangkan meliputi kes-kes preseden tort di Malaysia, definisi kecuaian dan remedi undang-undang yang tersedia, risiko tuntutan tort, peruntukan kewangan dan insurans, kuasa tribunal dan pesuruhjaya bangunan, cara memfailkan tuntutan di Sistem e-TPS, serta trend kes gangguan yang dilaporkan.

Peserta bertanya soalan kepada panel

Seramai 25 orang komuniti telah hadir ke program ini. Berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata peserta menyatakan kepuasan terhadap ilmu yang disampaikan dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Siti Zubaidah Helmaterlidi. Sebagai rujukan komuniti, pihak UTM turut menyediakan sudut tort yang kini ditempatkan di sebelah lif Pangsapuri Sri Saujana.

Majlis Perasmian Sudut Tort
Sudut Tort dalam Konflik Strata
Info Tort Dalam Konflik Strata diletakkan di sebelah Lif Pangsapuri

Program ini diharapkan dapat mencetuskan kesedaran undang-undang dan memupuk pemahaman yang lebih baik dalam menangani konflik strata secara adil, profesional, dan beretika. Hal ini kerana tinggal di kediaman strata bukan sekadar memiliki unit sendiri, tetapi adalah sebahagian daripada hidup bermasyarakat, dan undang-undang tort berfungsi sebagai alat untuk menuntut keadilan apabila berlaku salah laku.

Explore More