December 7, 2025

Bengkel E-STEM perkukuh keupayaan guru sains sekolah rendah di Johor

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – Seramai 101 guru Sains sekolah rendah dari daerah Johor Bahru, Kulai, Pasir Gudang dan Pontian telah menyertai Bengkel Latihan Guru STEM Sekolah Rendah Negeri Johor: Teacher Environmental-STEM (E-STEM) Pro Challenge, yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta mendapat sokongan penuh daripada Yayasan James Dyson (JDF).

Penyampaian penghargaan semasa Bengkel Latihan Guru STEM Sekolah Rendah Negeri Johor bersama James Dyson Foundation dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ)

Bengkel ini merupakan satu inisiatif proaktif dalam memperkukuh pendidikan kelestarian sebagai Elemen Merentas Kurikulum (EMK) melalui pendekatan E-STEM yang menekankan integrasi antara Alam Sekitar, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Matlamat utamanya adalah membina masyarakat rendah karbon serta melahirkan guru yang lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik generasi masa hadapan. Selain itu, bengkel ini turut menekankan aspek “upskill and reskill” dalam kalangan guru melalui pendekatan pembelajaran yang lebih sistematik dan selaras dengan keperluan Pembelajaran Abad Ke-21.

Sepanjang bengkel dua hari itu, para peserta dilatih untuk menerapkan pembelajaran yang interaktif, berorientasikan aktiviti “hands-on” bagi membantu mereka menyampaikan konsep sains dengan lebih menarik di bilik darjah. Setiap guru dibekalkan dengan Workbook, JDF Challenge Cards serta kit eksperimen yang digunakan sepanjang aktiviti. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Colorful Paper Batik, Underwater Volcano, Spinning Murukku, Spinning Fan, Straw Constructor dan sesi Pembentangan Idea Projek, yang semuanya direka bagi menggalakkan pemikiran saintifik dan kreativiti dalam kalangan guru.

Dalam aktiviti Colorful Paper Batik, peserta menghasilkan corak batik kertas berwarna-warni dengan menitiskan pewarna makanan ke atas permukaan susu sebelum memindahkan corak yang terhasil ke atas kertas surih dan kertas bersaiz A5. Sementara itu, aktiviti Underwater Volcano menampilkan gunung berapi bawah air berwarna-warni menggunakan bahan mudah didapati seperti pewarna makanan, bikar dan air panas, bagi memperlihatkan pergerakan bendalir akibat perubahan suhu.

Guru menghasilkan batik kertas berwarna-warni melalui aktiviti Colorful Paper Batik

Aktiviti Spinning Murukku pula menggunakan kertas berbentuk murukku yang dipasang pada batang kecil dan diletakkan di atas dua lilin di bahagian bawah. Eksperimen ini bertujuan menunjukkan bagaimana tenaga haba boleh menghasilkan pergerakan serta menyeimbangkan putaran objek. Konsep serupa diterapkan dalam aktiviti Spinning Fan, di mana haba daripada lilin menghasilkan tenaga yang mencetuskan putaran kipas buatan tangan, sekali gus memberi kefahaman asas mengenai penukaran tenaga haba kepada tenaga kinetik.

Spinning Murukku dijalankan bagi menunjukkan bagaimana haba boleh menghasilkan pergerakan putaran
Guru-guru mempamerkan hasil projek Spinning Fan mereka

Selain itu, aktiviti Straw Constructor menguji kreativiti dan kemahiran reka bentuk peserta melalui pembinaan model bangunan menggunakan straw dan penyambung. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada prinsip kejuruteraan struktur, kestabilan dan daya tahan binaan. Bengkel diakhiri dengan Pembentangan Idea Projek, di mana para guru membentangkan idea inovatif masing-masing dalam menerapkan aktiviti STEM yang bersesuaian untuk murid sekolah rendah.

Peserta bekerjasama membina model bangunan menggunakan straw dalam aktiviti Straw Constructor

Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM bersama wakil daripada Yayasan James Dyson. Penganjuran turut mendapat sokongan daripada fasilitator yang terdiri daripada jurutera James Dyson, pegawai pendidikan daerah dan negeri, serta pelajar pra dan pascasiswazah UTM yang membantu menjayakan sesi aktiviti dan latihan.

Melalui bengkel ini, guru-guru bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran pedagogi dan kefahaman terhadap konsep STEM, malah turut diberi inspirasi untuk mengaplikasikan pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik, interaktif dan berasaskan penyelesaian masalah dalam bilik darjah. Dengan sokongan berterusan daripada Yayasan James Dyson, diharapkan inisiatif ini dapat melahirkan barisan pendidik yang mampu membentuk generasi pelajar yang lebih kreatif, berfikiran kritikal dan bersedia menghadapi cabaran dunia sains dan teknologi masa depan.

Explore More

UTM Open Day