May 24, 2025

UTM rintis jalinan pendidikan masa depan di WDEC 2025 dan Hubei

CHINA, 18 Mei – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dijemput menyertai 2025 World Digital Education Conference (WDEC 2025) dan membentangkan inisiatif Pendidikan STEM dalam satu acara yang berlangsung dari 14 hingga 16 Mei 2025 di Wuhan dan wilayah Hubei, China. Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), bersama pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi dan wakil Kedutaan Malaysia di China.

Manakala delegasi UTM diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, Fellow Akademi Sains Malaysia dan Profesor Utama di Advanced Manufacturing Research Group, FKM UTM. Turut menyertai ialah Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan, FKM UTM serta Ts. Khidzir Zakaria, Ketua Makmal Pembuatan, FKM UTM.

Penyertaan UTM diperkuat dengan kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM, yang menegaskan kedudukan UTM sebagai entiti penting negara dalam pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan dalam pendidikan masa depan.

Persidangan bertemakan “Pembangunan dan Transformasi Pendidikan: Era Kecerdasan” ini telah menghimpunkan lebih 115 organisasi dari 43 negara. Ianya merupakan perhimpunan penting yang dihadiri oleh pelbagai ketua di peringkat negara dalam menentukan hala tuju baru penggunaan kecerdasan buatan di dalam pendidikan bagi berkongsi idea mengenai AI, STEM, teknologi pendidikan (EdTech) dan masa depan pembelajaran alaf baru.

Penyertaan ini mengukuhkan komitmen UTM dalam bidang kecerdasan buatan dan pendidikan STEM, selari dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Prof. Ts. Dr. Safian Sharif turut dijemput sebagai ahli panel forum meja bulat bertemakan “AI for STEM: Research, Education and Practice”, di mana beliau berkongsi pandangan tentang memperkasa Pendidikan STEM dari peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi. Beliau juga diberi penghormatan sebagai pengucap utama di Wuhan University of Technology, dengan pengkhususan dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Prof. Ts. Dr. Safian Sharif mewakili UTM dalam sesi meja bulat di WDEC 2025 yang menghimpunkan pakar pendidikan digital dari seluruh dunia
Prof. Ts. Dr. Safian Sharif menyampaikan ucaptama di Wuhan University of Technology mengenai “Machining Technology”

Di samping itu, pihak Hubei Polytechnic University turut menjemput Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid dan Ts. Khidzir Zakaria sebagai pengucap utama serta membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan. Lawatan kerja turut merangkumi kunjungan ke makmal universiti dan industri utama di wilayah Hubei, sebagai sebahagian daripada usaha penanda aras pendidikan tinggi dalam memacu pembangunan negara.

Lawatan delegasi UTM ke Hubei Polytechnic University dalam sesi perkongsian kepakaran penyelidikan dan pembangunan teknologi kejuruteraan serta pengukuhan jaringan kerjasama dua hala
Perbincangan bersama pengurusan Hubei Polytechnic University bagi meneroka potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara UTM dan institusi pendidikan tinggi di wilayah Hubei

Explore More