May 28, 2025

UTM-IKM perkukuh sinergi akademia dan profesionalisme kimia

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh, Presiden Institut Kimia Malaysia (IKM), dalam satu sesi penuh signifikan yang menandakan komitmen bersama ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara dua institusi terkemuka dalam bidang kimia di Malaysia.

Kunjungan ini diadakan sebagai susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan IKM, yang berperanan sebagai payung kepada pelbagai inisiatif bersama melibatkan pembangunan akademik, penyelidikan dan pembangunan profesional dalam bidang kimia.

Dalam sesi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan peluang kerjasama yang merangkumi pengukuhan jaringan akademik dan industri, pemerkasaan pembangunan bakat ahli kimia Malaysia, serta inisiatif penyelidikan berimpak tinggi yang boleh menyumbang kepada kelestarian dan kemajuan industri kimia negara.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam menzahirkan rasa penghargaan atas kesudian pihak IKM menjalin kerjasama yang lebih erat dengan UTM. Beliau menyatakan keyakinan bahawa sinergi antara UTM sebagai institusi akademik penyelidikan dan IKM sebagai badan profesional akan menghasilkan impak yang lebih besar dalam memajukan bidang kimia negara.

“Gabungan kepakaran penyelidikan UTM dan jaringan industri serta profesionalisme yang diterajui IKM membuka ruang lebih luas dalam melahirkan ahli kimia berkaliber serta memacu inovasi berteraskan penyelesaian lestari,” ujar beliau.

Sesi kunjungan hormat ini diteruskan dengan Majlis Menandatangani MoU secara rasmi antara kedua-dua pihak, sebagai tanda komitmen jangka panjang dalam merintis pelbagai bentuk kolaborasi strategik.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains UTM dan Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat, Pengarah Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM.

Dengan termeterainya MoU ini, UTM terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan tinggi dan penyelidikan, berpaksikan aspirasi “Kerana Tuhan Untuk Manusia, UTM Menginovasi Penyelesaian Lestari”.

YBhg. Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh menandatangani Buku Pelawat di Pejabat Naib Canselor
Pertukaran Dokumen MoU antara UTM dan IKM
Kerjasama antara dua institusi mempertingkat akademia dan profesionalisme kimia

 

Kerana Tuhan Untuk Manusia | Menginovasi Penyelesaian Lestari

Explore More