May 28, 2025

Sesi santai Naib Canselor bersama Kelab Pegawai Penyelidik UTM

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah mengadakan sesi libat urus santai tetapi bermakna bersama ahli Kelab Pegawai Penyelidik UTM (KPP-UTM) di Ruang Tamu Pejabat Naib Canselor, kampus Johor Bahru.

Sesi ini bertujuan untuk membuka ruang perbincangan secara langsung dan terbuka bersama pegawai penyelidik UTM, merangkumi topik berkaitan aspirasi penyelidikan, hala tuju strategik universiti, dan usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan secara menyeluruh dan inklusif. Ia juga menjadi platform penting untuk mendengar secara terus suara barisan pegawai penyelidik yang menjadi tulang belakang kepada agenda akademik dan inovasi universiti.

Prof. Dr. Mohd Shafry menekankan bahawa KPP-UTM adalah aset intelektual yang sangat berharga dan memainkan peranan besar dalam mencorak masa depan pendidikan tinggi serta menyumbang kepada penyelesaian lestari terhadap cabaran negara dan global.

“Saya amat menghargai komitmen dan pandangan ahli KPP-UTM, terutamanya berkaitan pemerkasaan kolaborasi antara penyelidik muda dan berpengalaman, serta cadangan untuk menambah baik ekosistem sokongan institusi terhadap inisiatif penyelidikan berimpak tinggi,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa kepelbagaian kepakaran yang dimiliki warga penyelidik UTM perlu dirangkum dan digembleng secara strategik untuk mendepani era teknologi disruptif dan keperluan masyarakat yang semakin kompleks. Dalam konteks ini, keterlibatan aktif penyelidik dalam inisiatif rentas disiplin dan kerjasama dengan industri dan komuniti amat digalakkan.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ts. Dr. Shahrulnizahani Mohammad Din, Pengerusi KPP-UTM, yang memacu kelab tersebut dengan pelbagai inisiatif pengukuhan komuniti pegawai penyelidik serta platform jaringan ilmiah dalam dan luar negara.

KPP-UTM berperanan sebagai wadah penting dalam mempererat hubungan antara penyelidik serta menjadi suara kolektif kepada isu-isu berkaitan penyelidikan di peringkat universiti. Melalui sesi seperti ini, kepimpinan universiti dapat merangka dasar dan pendekatan lebih responsif serta inklusif dalam menyokong aspirasi penyelidikan nasional dan global.

Pertemuan bersama Naib Canselor bersama Kelab Pegawai Penyelidik UTM (KPP-UTM)
Pertemuan yang berlangsung di Ruang Tamu Pejabat Naib Canselor

 

Kerana Tuhan Untuk Manusia | UTM Menginovasi Penyelesaian Lestari

Explore More