July 25, 2025

Sekolah dalam hospital mendidik dan membina kesedaran bersama

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Siri Ke-5 sesi perkongsian ilmu (Knowledge Sharing Session) secara dalam talian bagi meneruskan usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.

Sesi terbaru ini telah menampilkan seorang penceramah yang cukup berpengalaman dan berwibawa, Mursyid Alam, yang telah berkongsi pengalaman beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah yang beroperasi dalam hospital, atau lebih dikenali sebagai Sekolah Dalam Hospital (SDH). Inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan memastikan pelajar yang menjalani rawatan jangka panjang atau berulang di hospital tidak tercicir daripada sesi pembelajaran, sekali gus memberi peluang pendidikan yang adil dan saksama kepada semua.

Sepanjang sesi perkongsian, Mursyid Alam berkongsi pelbagai pengalaman unik yang telah beliau lalui sebagai pendidik. Antara kisah yang amat menyentuh hati para peserta ialah cerita mengenai sebuah keluarga yang menghadapi saat getir disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab seorang bapa yang juga seorang penagih dadah tegar. Keadaan ini menyebabkan isteri dan anak-anak mereka menjadi mangsa kealpaan dan kelalaian si ayah, sehingga mereka terpaksa melalui pelbagai penderitaan demi memenuhi keperluan si ayah yang menagih dadah. Kisah ini bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi juga menjadi iktibar bahawa tanggungjawab seorang pendidik dan masyarakat amatlah penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti dan betapa perlunya masyarajat sekeliling cakna terhadap peesekitaran.

Selain itu, Mursyid turut menegaskan bahawa menjadi pendidik dalam institusi seperti SDH memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran pedagogi biasa. Guru-guru yang mengajar di sini perlu lebih bersabar, peka dan memahami keperluan khas setiap pelajar. Pendekatan yang bersesuaian dan penuh empati amat penting untuk memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan yang penuh cabaran.

Sesi perkongsian ini juga turut menyentuh aspek kesedaran sosial dan peranan masyarakat dalam membangunkan komuniti secara mapan . Pengalaman yang dikongsi oleh Mursyid Alam membuka mata para pendengar tentang pentingnya kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang inklusif. Melalui kisah-kisah dan pengajaran yang dikongsikan, semua peserta diingatkan tentang peri pentingnya peranan individu dalam memantau dan membentuk persekitaran yang selamat serta kondusif untuk semua lapisan masyarakat.

Secara keseluruhan, sesi perkongsian ilmu ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi pendidikan tetapi juga menyemai nilai-nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan peserta. Pengalaman Mursyid Alam menjadi pengajaran berharga dan motivasi kepada semua yang hadir agar sentiasa peka dan bersama-sama menggembleng usaha dalam memperkukuhkan komuniti kita. Semoga perkongsian ini dapat membuka mata dan menjadi menjadi inspirasi dan panduan dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab di masa akan datang.

Poster untuk Sesi Perkongsian Ilmu siri ke 5

Explore More