June 13, 2025

Program Transformasi Minda pacu staf berinovasi lestari

JOHOR BAHRU, 9 Mei – Program Transformasi Minda (PTM) adalah satu program wajib bagi semua staf baharu lantikan tetap dalam perkhidmatan awam, termasuk staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Bertemakan Inovasi Lestari Demi Masa Depan Madani, PTM Siri ke-24 yang berlangsung pada 5 hingga 9 Mei 2025 telah dihadiri seramai 78 orang peserta dari kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh.

Program yang diadakan di Dewan ISES, Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (CTLD), UTM Johor Bahru ini bertujuan memberikan kefahaman mengenai struktur, etika, nilai serta budaya kerja sektor awam, sejajar dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Malaysia untuk melahirkan penjawat awam yang berintegriti, profesional dan berorientasikan prestasi. Ia juga turut memberi pendedahan kepada staf baharu berkenaan hala tuju organisasi dan perkhidmatan awam secara umum serta memupuk jati diri dan profesionalisme dalam kalangan warga kerja UTM.

Antara modul yang disampaikan oleh penceramah yang dilantik mencakupi Pengenalan kepada Perkhidmatan Awam, Gagasan Malaysia MADANI, Budaya Korporat & Nilai Murni UTM, Integriti dan Antirasuah, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Pengurusan Emosi dan Komunikasi Efektif. Peserta turut didedahkan dengan siri latihan dalam kumpulan (LDK) dan aktiviti pengukuhan yang dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman dari pelbagai skim.

Naib Canselor UTM, Prof Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapannya menyeru semua tenaga baharu agar menyambung legasi yang telah lama diwujudkan oleh pemimpin terdahulu.

“Kita harus kenang pemimpin terdahulu yang telah membawa nama UTM hingga ke hari ini. Tanpa mereka, UTM tidak akan berdiri megah menjadi Universiti Penyelidikan. Sekarang, giliran kita untuk menyambung legasi tersebut,” sahut beliau yang baru sahaja menyambut 100 kepimpinan sebagai Naib Canselor UTM ke-8.

Naib Canselor menyeru kepada semua staf untuk sama-sama menyokong aspirasi UTM. Kredit : FB CTLD

Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd. Sharil Abdullah berkata, semua staf UTM haruslah sama-sama bergerak membantu negara dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan.

“Kita di universiti adalah ejen utama negara dalam membantu peningkatan taraf hidup melalui pendidikan. Dengan pendidikan, ia dapat membantu menaikkan siling pendapatan dan juga kita tidak lupa untuk meningkatkan lantai pendapatan. Dengan itu, taraf hidup rakyat Malaysia semakin lama semakin tinggi demi menuju status negara maju. Jadi, kita mesti menampilkan kualiti yang terbaik dalam perkhidmatan di UTM,” ujarnya ketika menyampaikan ucap tama PTM.

Beliau yang turut berkongsi budaya kerja 5K sebagai pembolehdaya mencorak bakat universiti sanjungan bangsa melalui kesejahteraan, keharmonian, kecekapan, keterangkuman dan kemampanan.

Dato’ Pendaftar dalam ucaptama beliau dalam mencorak bakat universiti menyulam sanjungan bangsa. Kredit : FB CTLD

Sementara itu, Ketua Fasilitator, Md Razib Karno menyifatkan program ini sangat relevan memandangkan organisasi mendepani cabaran dengan perubahan generasi yang mendadak.

“Kita akui perubahan zaman merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan, namun kita perlu pastikan budaya kerja itu selari dengan output yang disasar oleh pemegang taruh. Jadi, saya bertanggungjawab untuk memastikan semua peserta PTM kali ini menjadi staf yang mengikut acuan dan kehendak UTM bagi mencapai penyampaian perkhidmatan yang terbaik”, ujarnya.

Beliau yang bertugas sebagai seorang Timbalan Pustakawan di Perpustakaan Sultanah Zanariah turut memuji komitmen fasilitator yang dilantik dalam menjalankan tugas mereka membimbing semua peserta PTM kali ini. Seramai sembilan orang fasilitator dari pelbagai skim dan gred telah membantu menjayakan aktiviti LDK pada setiap malam di samping memantau peserta pada sebelah pagi.

Peserta PTM menggunakan idea dan kreativiti dalam menyelesaikan masalah dalam aktiviti berkumpulan. Kredit : FB CTLD

Ketua peserta yang dilantik atau Penghulu, Muhammad Khairull Izzuan Abdull Karim dari UTM Kuala Lumpur turut berkongsi pandangan positif  terhadap pelaksanaan PTM. Beliau menyatakan program ini sangat membantu dalam memahami peranan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam serta menyesuaikan diri dengan budaya kerja UTM.

“Kerjasama, semangat dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua peserta sangat positif. Walaupun pada awalnya kami datang sebagai individu yang berbeza latar belakang, tetapi akhirnya kita pulang sebagai satu pasukan yang telah melalui satu pengalaman transformasi bersama,” kata beliau.

Beliau yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) menerapkan prinsip ‘transformasi bermula dari diri sendiri’ turut mengakui program ini telah mengasah kemahiran kepimpinan, penyelesaian masalah dan cara berkomunikasi secara lebih efisien.

PTM turut dihiburkan pada malam 8 Mei 2025 dengan persembahan berkumpulan di mana setiap kumpulan mempersembahkan sketsa yang bertemakan inovasi lestari. Melalui aktiviti ini, kreativiti dan semangat kerjasama dilihat memuncak apabila masing-masing menjelmakan pemikiran di luar kotak untuk memenuhi keperluan persembahan dalam masa persiapan yang singkat. PTM 2025 menutup tirai pada Jumaat, 9 Mei 2025 dengan ujian kompetensi kepada semua peserta serta Majlis Penutup yang disempurkan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, CTLD, Azri Hohad.

Peserta PTM dengan aksi tersendiri ketika Malam Persembahan. Kredit : FB CTLD

Explore More