📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan inisiatif menyeluruh untuk mengawal hidupan liar di kampusnya. Kampus UTM terletak berhampiran kawasan hutan dan taman rekreasi semula jadi, yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis hidupan liar seperti monyet, musang, biawak, babi hutan, burung dan ular. Pihak universiti telah melaksanakan beberapa inisiatif pengurusan, termasuk pemasangan perangkap monyet dan kerjasama dengan agensi luar bagi memudahkan pengurusan dan kawalan hidupan liar. Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan risiko keselamatan dan memastikan kesejahteraan warga kampus.
JOHOR BAHRU, 12 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warganya melalui pelaksanaan langkah pengurusan hidupan liar di sekitar kawasan kampus, khususnya bagi mengurangkan risiko yang berpunca daripada haiwan liar yang berkeliaran.
Kampus UTM yang terletak berhampiran kawasan hutan dan taman rekreasi semula jadi sering menjadi habitat kepada pelbagai jenis hidupan liar seperti monyet, musang, biawak, babi hutan, burung dan ular.

Staf Unit Tugas Khas, Bahagian Keselamatan UTM, Arif Mohamad berkata, kehadiran hidupan liar ini telah menyebabkan gangguan kepada aktiviti pelajar serta menimbulkan risiko keselamatan.
“Sebagai langkah pencegahan, pihak universiti telah melaksanakan beberapa inisiatif pengurusan termasuk pemasangan sebanyak 27 perangkap monyet di sekitar kampus. Daripada jumlah ini, 10 merupakan perangkap bersaiz kecil manakala selebihnya bersaiz besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2026, yang disambut pada 3 Mac setiap tahun di peringkat global. Turut hadir ialah rakan sejawatnya, Mohamad Amirrul Sofian.

Menurut Arif lagi, pihak keselamatan UTM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi luar bagi memudahkan pengurusan dan kawalan hidupan liar di kawasan kampus.
“Pihak universiti bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Melalui kerjasama strategik ini, kerja-kerja seperti menangkap dan mengendalikan haiwan liar termasuk ular serta spesies lain yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan oleh pihak PERHILITAN,” katanya.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengawal populasi hidupan liar di sekitar kampus, malah memastikan keselamatan pelajar terus terpelihara.
Selain tindakan fizikal, pihak keselamatan UTM turut merancang pelaksanaan program ceramah bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu gangguan hidupan liar di kolej-kolej kediaman.
“Pihak kami akan mula turun ke kolej kediaman mahasiswa selepas sambutan Aidilfitri bagi memberikan penerangan berkaitan kaedah pencegahan gangguan hidupan liar.
“Antara penekanan yang akan diberikan termasuk tidak memberi makanan kepada haiwan liar, melaporkan kejadian mencurigakan atau berbahaya kepada pihak berkuasa kampus serta sentiasa berwaspada ketika berada berhampiran habitat semula jadi,” katanya lagi.
Arif menegaskan bahawa usaha ini selaras dengan komitmen pengurusan UTM yang sentiasa mengutamakan aspek keselamatan warga kampus dan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Secara keseluruhannya, kami berharap dapat mengekalkan suasana kampus yang aman, kondusif dan selamat, di samping memelihara keanekaragaman hidupan liar di persekitaran kampus demi kebaikan bersama.
“Kesedaran serta kerjasama semua warga universiti merupakan kunci utama dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Inisiatif pengurusan hidupan liar di kampus UTM yang memberi penekanan kepada keselamatan mahasiswa ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15, iaitu Kehidupan di Daratan, yang bertujuan memelihara serta mempromosikan kelestarian ekosistem daratan termasuk pengurusan biodiversiti dan perlindungan habitat hidupan liar.
Melalui pengurusan yang sistematik dan bertanggungjawab, usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan keanekaragaman hidupan liar, malah memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti kampus.

