JOHOR BAHRU, 28 Mei – Program Pengaplikasian Bilik Interaktif melalui Aplikasi Tinkercad telah dilaksanakan dengan jayanya pada 28 Mei 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Rinting 2, Johor Bahru. Program ini merupakan salah satu komponen utama di bawah Projek Komuniti Pembangunan Pembelajaran Teradun Berdasarkan Bilik Interaktif dan Sistem Fertigasi yang diselaras oleh Dr. Khairulnadzmi Jamaluddin dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini mendapat sokongan padu daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Pertanian Negeri Johor sebagai penaja utama, selain kerjasama erat daripada Sinar Rihana Resources, pihak SMK Taman Rinting 2, serta Parlimen Pasir Gudang. Semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan program berjalan lancar serta mencapai objektif yang disasarkan.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan aplikasi Tinkercad sebagai alat pembelajaran interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui pendekatan berasaskan teknologi ini, pelajar dapat mempelajari asas reka bentuk tiga dimensi, memahami prinsip reka bentuk sistem fertigasi moden, serta mengaplikasikan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara praktikal.

Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar menunjukkan minat dan keterlibatan yang tinggi dalam meneroka aplikasi Tinkercad sebagai platform simulasi reka bentuk. Dengan bimbingan tenaga pengajar dan fasilitator, pelajar bukan sahaja memahami konsep asas pertanian pintar dan sistem fertigasi, tetapi turut berpeluang membina model reka bentuk mereka sendiri secara maya. Pendekatan ini secara langsung menggalakkan pembelajaran aktif, kolaboratif, dan berpusatkan pelajar, sekali gus membina kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritikal, kreativiti, dan penyelesaian masalah.
Program ini turut memperkukuh pelaksanaan pembelajaran teradun (blended learning) yang menggabungkan aktiviti teori dan praktikal berasaskan teknologi digital. Pelaksanaan program di SMK Taman Rinting 2 secara langsung menyokong matlamat Dasar Pendidikan Negara dalam membangunkan sistem pendidikan yang holistik, progresif, dan berdaya saing. Inisiatif ini menggabungkan elemen teknologi, inovasi, dan pembelajaran berasaskan projek bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia digital dan revolusi industri masa kini.
Di penghujung program, peserta dan guru berkongsi pandangan positif mengenai keberkesanan aplikasi Tinkercad sebagai medium pembelajaran interaktif. Program ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti, sekolah, agensi kerajaan, dan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan teknikal dan vokasional.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung maupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif sebegini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan pelajar yang celik teknologi, berfikiran inovatif, dan berdaya saing di peringkat global.