JOHOR BAHRU, 18 Mei – Program Riang Raga Desa: “Sihat Itu Ceria!” anjuran Kelab Siswa Aktif (KESIA), Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan jayanya pada Sabtu, 18 Mei 2025 bertempat di Balairaya Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru.
Program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti luar bandar. Melalui pendekatan holistik dan interaktif, program ini memberi peluang kepada peserta cilik untuk belajar sambil bermain serta belajar bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeronokkan.
Penganjuran program ini melibatkan kerjasama erat antara pihak universiti, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), serta komuniti Kampung Pasir, Tampoi. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada penduduk setempat yang berganding bahu menjayakan setiap aktiviti yang telah dirancang. Sebagai kelab pelajar yang aktif di bawah naungan KTHO, KESIA memainkan peranan penting dalam membawa mahasiswa keluar dari kampus dan terlibat secara langsung dalam pemerkasaan komuniti. Penganjuran program seperti ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah memperkukuh nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Program Riang Raga Desa: “Sihat Itu Ceria!” memberi tumpuan kepada kanak-kanak sebagai kelompok utama. Seramai 50 orang kanak-kanak dari kawasan sekitar telah menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti senaman pagi, sukaneka kecil, pertandingan mewarna dan kuiz kesihatan. Aktiviti-aktiviti ini dirangka untuk menggalakkan kecergasan fizikal, merangsang kreativiti, dan menyemai kesedaran awal terhadap pemakanan seimbang dan penjagaan kesihatan serta kebersihan.

Program dimulakan dengan sesi senaman pagi secara berkumpulan bagi memanaskan badan dan menceriakan suasana untuk menyuntik semangat dalam kalangan peserta. Kemudian, sukaneka kecil dijalankan dengan pelbagai permainan seperti lari dalam guni dan baling belon air yang menguji ketangkasan serta semangat berpasukan dalam diri kanak-kanak tersebut. Aktiviti ini dilihat mendapat sambutan yang sangat meriah dengan sorakan daripada para peserta serta ibu bapa yang turut hadir.

Seterusnya, pertandingan mewarna bertemakan makanan seimbang diadakan bagi merangsang kreativiti dan pemahaman asas tentang pemilihan makanan sihat. Kanak-kanak diberikan set pensel warna dan helaian bergambar berkaitan pemakanan sihat untuk diwarnakan dalam suasana santai dan menggembirakan. Kuiz kesihatan pula dilaksanakan sebagai aktiviti penutup, bertujuan untuk mencabar pengetahuan peserta dengan soalan berkaitan amalan gaya hidup sihat. Beberapa orang peserta telah dipilih sebagai pemenang bagi setiap kategori dan menerima hadiah istimewa sebagai penghargaan. Kanak-kanak juga menerima makanan dan cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Selain menyantuni komuniti, program ini juga memberi peluang kepada ahli KESIA dan pelajar KTHO untuk membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Di samping itu, nilai-nilai murni seperti etika, semangat sukarelawan, dan jati diri nasional turut diterapkan melalui interaksi langsung bersama komuniti. Program seumpama ini mencerminkan komitmen UTM dalam mendukung agenda penglibatan komuniti (community engagement) selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi pendidikan yang holistik dan berteraskan nilai murni.
Program Riang Raga Desa: “Sihat Itu Ceria!” sewajarnya diteruskan dan dikembangkan pada masa akan datang sebagai medium pendidikan tidak formal yang menyeronokkan, menyumbang ke arah pembentukan generasi muda yang sihat, cergas dan berdaya tahan, serta memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan masyarakat luar bandar.
Oleh Ng Zhi Qian (Penulis), Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)