KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Wira Damai, Gombak, susulan insiden kebakaran yang berlaku pada 18 Mei 2025.
Sumbangan keperluan asas telah disampaikan kepada 20 mangsa yang terjejas, melibatkan dua buah rumah di kampung berkenaan. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; pegawai-pegawai KPT; pelajar UTM Kuala Lumpur serta Ahli Jawatankuasa Kampung Wira Damai.


Pegawai dan wakil dari Seksyen Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kuala Lumpur turut hadir memberikan sokongan motivasi dan emosi kepada keluarga yang terkesan. Seramai 24 orang pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan UTM Kuala Lumpur turut serta dalam aktiviti khidmat masyarakat tersebut. Agihan barangan keperluan harian telah diserahkan kepada keluarga terjejas.

Terdahulu, KPT dan UTM telah melaksanakan program libatsama bersama penduduk Kampung Wira Damai menerusi Program Santuni MADANI (Satu Pemimpin Satu Kampung) yang berlangsung pada 23 Februari dan 23 Mac 2025.
Melalui sumbangan dan program susulan ini, KPT dan UTM berharap kerjasama yang terjalin akan terus mengurangkan beban penduduk Kampung Wira Damai di samping membina ukhuwah antara pelajar dan masyarakat setempat. Pengalaman ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk memahami realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang terkesan dengan musibah, di samping memupuk rasa empati dan tanggungjawab sosial.
“Pengalaman ini menyentuh hati saya dan mengajar saya tentang kepedulian terhadap insan lain,” ujar Alisya Sofea Norisyam, pelajar dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT). Menurutnya, lawatan ini memberikan pendedahan berharga kepada pelajar di luar bilik darjah, serta mendidik nilai kemanusiaan yang sebenar.


Keprihatinan KPT dan UTM dalam program ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk menghargai nikmat keselesaan yang dimiliki, di samping menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan. Program Santuni MADANI juga dilihat sebagai inisiatif memperkasa komuniti melalui pendekatan langsung yang menyasarkan pembangunan potensi kampung serta kesejahteraan penduduk, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang disesuaikan mengikut keperluan setempat.