May 23, 2025

KTP Nexus UTM perkasa sahsiah dan akademik remaja sekitar Skudai

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui inisiatif KTP Nexus berjaya menganjurkan Kem 1 Program KTP Nexus: Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja pada 17 hingga 18 Mei 2025. Program ini melibatkan penyertaan lebih 70 pelajar dari lima buah sekolah menengah di sekitar UTM, iaitu SMK Taman Universiti, SMK Taman Universiti 2, SMK Mutiara Rini, SMK Taman Desa Skudai dan SMK Skudai. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh nilai sahsiah, kepimpinan, dan kecemerlangan akademik dalam kalangan remaja, selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.

Sesi pengenalan fasilitator dan peserta dalam kumpulan

Kem ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengarah CCIN, Prof. Dr. Johari Surif, yang menekankan kepentingan pembangunan sahsiah dan kepimpinan remaja sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan berdaya saing. Sepanjang dua hari pelaksanaan, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel motivasi, latihan kepimpinan, aktiviti berkumpulan dan sesi refleksi diri. Aktiviti-aktiviti ini dirangka khusus bagi membina keyakinan diri, memupuk semangat kerjasama, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah. Peserta juga berpeluang berinteraksi dengan fasilitator UTM yang berpengalaman serta menerima bimbingan daripada guru pengiring yang sentiasa memberikan sokongan moral sepanjang program.

Penerangan Modul Akademik oleh Pensyarah UTM, PM Dr. Zakiah Mohamad Ashari

Menariknya, pada 18 Mei 2025, turut diadakan Ceramah Keibubapaan bertajuk “Ibubapa… Aku Bukan Sempurna” yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad. Ceramah ini memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai peranan serta cabaran dalam mendidik anak-anak remaja, sambil menekankan pentingnya komunikasi dan sokongan emosi dalam membentuk sahsiah anak-anak.

Sesi Ceramah Keibubapaan oleh Dr. Zulfikar bin Ahmad, Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM

Menurut penyelaras program, penganjuran kem ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan sahsiah dan akademik, malah turut membuka ruang untuk mereka membina jaringan sosial yang positif bersama rakan dari sekolah lain. Kejayaan Kem 1 ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkasakan pendidikan holistik dan pembangunan modal insan berkualiti, sejajar dengan matlamat universiti untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Bersama Pengarah CCIN dan penceramah Modul Psikologi UTM

UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak sekolah, fasilitator, ibu bapa, dan para pelajar yang telah menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan generasi remaja yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Program KTP Nexus ini diharap menjadi platform berterusan untuk memperkasa potensi remaja dan membina masyarakat yang lebih cemerlang.

Peserta menerima bimbingan fasilitator dalam Modul Robotik

Explore More