KUALA LUMPUR, 19 Mei – Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program Latihan Asas Kecerdasan Buatan (AI) untuk Jabatan Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama dua hari, bermula 19 hingga 20 Mei 2025 di kampus UTM Kuala Lumpur.
Program ini disertai oleh lebih 120 peserta daripada KDN dan bertujuan untuk memperkenalkan teknologi AI kepada penjawat awam selaras dengan aspirasi pendigitalan sektor awam.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Roslina Ibrahim, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Fakulti Kecerdasan Buatan, diikuti dengan ucapan daripada Puan Erma Ahmad Khalili, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KDN.



Program ini dibahagikan kepada beberapa fasa, dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada pengenalan penggunaan AI dalam bidang pengurusan sumber manusia. Peserta didedahkan kepada peranan AI sebagai pembantu dalam tugasan harian serta aspek etika penggunaannya dalam sektor awam.
Antara aktiviti utama termasuk penggunaan alat seperti ChatGPT untuk menjana minit mesyuarat dan kertas kerja secara automatik, serta penerapan teknologi AI dalam analisis imej, statistik, dan penyediaan slaid pembentangan.


Peserta turut dilatih menghasilkan kandungan media sosial yang interaktif menggunakan aplikasi seperti Kling.ai. Semua aktiviti ini dirancang untuk memperlihatkan potensi sebenar AI dalam meningkatkan produktiviti dan memudahkan urusan kerja seharian penjawat awam.
Kerjasama strategik antara UTM dan MIMOS Berhad turut memperkukuh keberkesanan program ini, khususnya kepada KDN, dengan memberi pendedahan kepada penggunaan alat AI yang inovatif dan praktikal. Program ini juga menyokong agenda pendigitalan sektor awam, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sumber manusia yang lebih cekap dan berdaya saing dalam perkhidmatan awam negara.