May 23, 2025

KENYATAAN RASMI NAIB CANSELOR : MAKLUMAN SUSULAN INSIDEN KEBAKARAN BAS UTM

Susulan kenyataan rasmi berhubung insiden kebakaran sebuah bas universiti yang dikeluarkan pada 21 Mei 2025, pihak Universiti ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), telah membentangkan laporan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) pada 23 Mei 2025, hari ini.

Untuk makluman, bas yang terlibat dalam insiden tersebut merupakan kenderaan milik syarikat luar yang telah dilantik oleh pihak Universiti sebagai operator rasmi perkhidmatan pengangkutan kampus.

Berdasarkan pembentangan tersebut, pihak Universiti komited untuk mengambil tindakan serta-merta terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Melaksanakan siasatan lanjut dan terperinci bagi memperkasakan ekosistem keselamatan di dalam kampus. Keselamatan warga universiti adalah agenda utama, dan pihak pengurusan tidak akan berkompromi terhadap sebarang keadaan yang boleh mendedahkan warga kampus kepada risiko atau bahaya. Setiap insiden dijadikan iktibar untuk penambahbaikan menyeluruh, termasuk dari aspek penyelenggaraan, pemantauan berkala, serta keberkesanan prosedur kecemasan.
  2. Melaksanakan Audit Risiko Keselamatan melalui penubuhan Pasukan Khas (Taskforce) yang akan menjalankan audit menyeluruh terhadap semua aset pengangkutan, fasiliti kritikal dan sistem sokongan keselamatan di seluruh kampus. Hasil audit ini akan menjadi asas penting dalam merangka pelan tindakan penambahbaikan jangka pendek dan panjang, demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan warga UTM.
  3. Memperkukuh budaya keselamatan atau prinsip ‘safety first’ dalam kalangan seluruh warga universiti sebagai satu amalan harian yang menyeluruh, merangkumi aspek pengurusan dan operasi, ke arah mewujudkan persekitaran kampus yang selamat, berdaya tahan dan bertanggungjawab.

 

Pihak Universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan insiden ini. Universiti juga menzahirkan komitmen sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan kebajikan warga kampus sentiasa berada pada tahap tertinggi. Segala langkah penambahbaikan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tadbir urus yang telus dan berkesan.

Sekian, terima kasih.

PROF. DR. MOHD SHAFRY BIN MOHD RAHIM

Naib Canselor

Universiti Teknologi Malaysia

Tarikh : 23 Mei 2025



Explore More