Bermula daripada sekadar inisiatif kecil membantu komuniti luar, kini startup yang diasaskan oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), AquaTech Enterprise, telah mengorak langkah sebagai peneraju teknologi Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT) dalam bidang akuakultur.
Wan Muhammad Azim Wan Mohamad Zaharuddin, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Elektrik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, berkata idea awal AquaTech tercetus apabila melihat keperluan mendesak penternak ikan terhadap sistem pemantauan pintar yang mampu mengurangkan risiko kematian ikan secara drastik.
“Projek ini mula ditubuhkan sekitar pertengahan 2024, apabila kami terlibat dengan geran komuniti di bawah seliaan Dr. Adib. Beliau memperkenalkan kami kepada komuniti penternak yang sangat memerlukan teknologi untuk menjaga kualiti air kolam,” jelas Azim.

Melalui kerjasama rapat bersama Dr. Mohd. Adib Sarijari dan Ts. Dr. Nor Aishah Muhammad dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, AquaTech telah membangunkan dua produk utama, Sistem Pemantauan Air (Water Monitoring System) dan Sistem Pengendalian Pam (Pump Management System). Sistem pemantauan pintar ini mampu merekod bacaan oksigen, pH, dan suhu air secara langsung, manakala pam pula dicipta untuk beroperasi tanpa henti selama 24 jam, lengkap dengan penggera automatik sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau kerosakan.
“Bayangkan pam mati tanpa disedari, dan ikan mula mati dalam jumlah yang banyak. Sistem kami berfungsi seperti ‘pak guard kolam’ – mengawal, memberi maklumat dan menghantar notifikasi kepada penternak,” tambah Azim.


Cabaran masa dan semangat kerjasama
Apa yang lebih menarik, AquaTech bukan sekadar hasil kerja pelajar kejuruteraan. Di sebalik perisian, sensor dan wayar-wayar elektronik, terdapat juga kecekapan pengurusan yang ditunjangi oleh Sri Prasaad A/L Srighanesan, pelajar separuh masa dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Penolong Penyelidik sepenuh masa di makmal telekomunikasi UTM.
Menurut beliau, cabaran masa menjadi halangan utama. Namun begitu, cabaran itu berjaya ditangani melalui pembahagian kerja yang sistematik antara ahli pasukan. Kombinasi ini bukan sahaja memastikan projek berjalan lancar, malah mengajar mereka tentang kecekapan sebenar dalam menguruskan organisasi kecil.
“Kami bergilir antara hari minggu (weekdays) dan hujung minggu (weekend). Saya akan uruskan pada hari minggu, manakala Azim pula turun ke lapangan pada hujung minggu. Kami sentiasa memastikan objektif kami tidak akan tergendala,” ujar Prasaad.

Lebih menarik, pembangunan AquaTech turut disokong oleh pelbagai pihak melalui dana dan latihan, antaranya Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTM XCITE), Pusat Inovasi dan Komersialisasi (ICC), dan Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN). Komponen sensor diimport dari China bagi memastikan kos efektif, manakala pemasangan dan penalaan sistem dilakukan secara kendiri oleh pasukan.
“UTM bukan sekadar kampus, ia ekosistem inovasi,” kata Prasaad. “Bila mana kami menerima dana, kami terus dengan penilaian produk kami, membuat sasaran ke pasaran kecil, memberi percubaan percuma kepada penternak, dan kini kami sudah pasarkan 15 unit IoT ke seluruh Johor termasuk Mersing, Pagoh, Felda Linggiu dan Felda Bukit Ramun.”
Sokongan pengguna turut diperkukuh menerusi pemantauan berterusan di lapangan dan komunikasi langsung melalui aplikasi Telegram untuk memastikan setiap penternak sentiasa mendapat maklumat terkini.
Ilmu dan inovasi untuk komuniti
Menurut Ts. Dr. Nor Aishah, inisiatif seperti AquaTech memperlihat bagaimana pelajar universiti mampu menyumbang kepada pembangunan sebenar dengan impak yang besar. Beliau juga menyatakan bahawa sokongan terhadap pelajar seperti Azim dan Prasaad bukan sahaja memperkasakan mereka dari sudut kemahiran, malah menjimatkan kos pembangunan yang biasanya memerlukan perkhidmatan profesional luar.
“Sebenarnya, pelajar kita mempunyai potensi tersembunyi yang luar biasa. Kalau diberi ruang dan kepercayaan, mereka bukan sahaja boleh membantu komuniti, malah melatih diri untuk jadi lebih profesional,” katanya.

Melangkah ke fasa seterusnya, AquaTech merancang untuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem mereka bagi mengesan keadaan kolam secara visual, termasuk pengesanan pencerobohan dan kemerosotan kesihatan ikan.
“Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain.”
Dengan berpegang kepada prinsip ini, Azim menyeru pelajar lain agar berani keluar dari zon selesa dan menggunakan ilmu yang ada untuk memberi nilai tambah kepada masyarakat.
“Peluang itu sebenarnya ada di sekeliling kita, cuma kita perlu berani bertanya, keluar mencari, dan menggunakan ilmu untuk cipta penyelesaian,” katanya.
AquaTech bukan sekadar projek teknologi, ia adalah manifestasi bagaimana ilmu dan semangat mahasiswa mampu mencorak perubahan yang signifikan dalam masyarakat.