JOHOR BAHRU, 20 April – Seramai 14 pelajar Sarjana Muda Sains Pendidikan (Fizik) dengan Kepujian (SHPFH) bersama 35 pelajar Tingkatan Satu dari SMK Seri Pulai Perdana baru-baru ini telah menyertai program “Reviving Paper, Reviving Earth”. Inisiatif ini bertujuan mengajar teknik mengitar semula kertas terpakai menjadi kertas baharu untuk pelbagai kegunaan seperti buku, penanda buku dan kad ucapan.
Program ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, dengan memfokuskan kepada pengurangan sisa melalui kitar semula dan penggunaan sumber secara cekap. Dengan mengitar semula kertas, kebergantungan terhadap bahan mentah baharu dapat dikurangkan sekali gus meminimumkan sisa pepejal dan memberi impak positif kepada alam sekitar.
Selain itu, aktiviti ini turut mendukung SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, memandangkan proses kitar semula membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca daripada pembuatan kertas baharu. Pada masa yang sama, usaha ini menyumbang kepada SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan dengan memperkukuh pengurusan sisa yang lestari. Kerjasama pelbagai pihak dalam penganjuran program ini juga selari dengan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, manakala aspek inovatif dalam proses kitar semula menyokong SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur.
Program bermula dengan sesi pendaftaran dan taklimat ringkas oleh Pengarah Program, Muhammad Syazwan Mohd Zaironi. Peserta kemudian menjalani aktiviti praktikal bermula dengan rendaman kertas terpakai, diikuti proses mengisar menggunakan blender, menapis dan menjemur sehingga menghasilkan helaian kertas baharu.


Sementara menunggu kertas kering, pelajar menyertai aktiviti menulis kelebihan amalan kitar semula di atas kertas mahjong. Ceramah ringkas oleh Naib Pengarah Sekolah, Irene Petrus, memberi pendedahan tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui kitar semula. Sesi diteruskan dengan kuiz interaktif untuk menguji kefahaman pelajar.
Sebagai penutup, pelajar menggunakan kertas yang telah dihasilkan untuk menghasilkan penanda buku dan kad ucapan Hari Guru mengikut kreativiti masing-masing. Majlis penyampaian hadiah kepada peserta cemerlang disempurnakan oleh Puan Marlina Ali dan Muhammad Syazwan Mohd Zaironi.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada pensyarah kursus Bina Insan Guru, Puan Marlina Ali, yang menyatakan bahawa amalan mengitar semula kertas terpakai membawa pelbagai manfaat penting. Ia dapat mengurangkan penggunaan sumber semula jadi seperti kayu dan air, menjimatkan tenaga serta kos pengeluaran kertas baharu. Tambahan pula, ia membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, seterusnya mengurangkan pencemaran dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.


Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman praktikal yang menyeronokkan, tetapi juga menyemai nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar sejak usia muda. SMK Seri Pulai Perdana berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi memupuk budaya kitar semula dalam kalangan pelajar dan komuniti sekolah secara berterusan.