YOGYAKARTA, 18 Feb – Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh keterlihatan global dan jaringan kerjasama strategik melalui Program Go East Java 2.0 yang berlangsung dari 17 hingga 18 Februari 2025 di Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Yogyakarta. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memupuk perkongsian akademik dan inovasi antara dua institusi pendidikan tinggi yang berfokuskan teknologi dan industri.
Majlis perasmian program ini telah diadakan pada hari Isnin, 17 Februari 2025, bertempat di Bilik Audio-Visual tingkat 4 Muzium Muhammadiyah. Majlis tersebut disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Industri (FTI) UAD, Prof. Dr. Ir. Siti Jamilatun, M.T., dan dihadiri oleh Ketua Pejabat Kerjasama dan Urusan Antarabangsa (KKUI) UAD, Ulaya Ahdiani, S.S., M.Hum., serta 13 pegawai akademik FTI. Turut hadir mewakili UTM ialah Pengetua KTC, Prof. Ir. Ts. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, bersama 52 pelajar KTC yang bersemangat menyertai sesi pertukaran ilmu dan pengalaman.
Antara acara utama sepanjang program ini ialah Global Classroom, sebuah sesi pengkongsian ilmiah yang memfokuskan kepada penyelidikan terkini para pensyarah UAD dalam bidang teknologi dan inovasi. Dalam sesi ini, pelajar UTM berpeluang untuk mendalami kajian yang dijalankan oleh tenaga pengajar UAD termasuk dalam bidang automasi industri, teknologi hijau, dan transformasi digital dalam pendidikan teknikal. Perkongsian ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami pendekatan penyelidikan rentas negara serta memperkukuh kebolehlaksanaan kerjasama penyelidikan masa depan.
Program mobiliti ini turut melibatkan lawatan ilmiah ke beberapa fasiliti utama di UAD. Antara lokasi yang dilawati termasuk makmal penyelidikan di Fakulti Teknologi Industri dan beberapa kelas interaktif di fakulti berbeza, yang memberikan pendedahan langsung kepada sistem pengajaran dan pembelajaran di UAD. Pelajar UTM dapat melihat sendiri bagaimana elemen teknologi diaplikasikan secara praktikal dalam bilik kuliah dan makmal, sejajar dengan standard pendidikan antarabangsa.

Selain itu, peserta turut dibawa melawat ke Muzium Muhammadiyah, di mana mereka didedahkan kepada sejarah penting perjuangan kemerdekaan Indonesia. Lawatan ini memperlihat bagaimana semangat nasionalisme dan perjuangan rakyat Indonesia membentuk kemerdekaan negara tersebut. Penerangan mengenai peranan Muhammadiyah dalam memperjuang pendidikan dan kebebasan menambahkan nilai sejarah dan budaya kepada keseluruhan pengalaman pelajar.
Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, “Program seperti ini amat penting untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga memiliki jati diri global. Mereka bukan hanya belajar, tetapi mereka membina jaringan, memahami budaya, dan mencabar diri dalam persekitaran baharu.”
Go East Java 2.0 jelas membuktikan komitmen UTM dan KTC dalam menjayakan agenda antarabangsa universiti melalui mobiliti pelajar, inovasi penyelidikan dan kerjasama strategik yang melangkaui sempadan. Dengan inisiatif seperti ini, UTM terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam meneroka peluang kolaborasi global.
