April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Kumpulan APQ Team telah dinobatkan sebagai Juara bagi merangkul Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) di Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Citra Karisma 2012. Anugerah telah disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor di Dewan Sultan Iskandar, kampus Skudai. Kumpulan yang diketuai oleh Ismail Sharip ini telah ditubuhkan pada tahun 2002 dengan dianggotai oleh sembilan orang kakitangan bahagian Penyelenggaraan, Pejabat Harta Bina yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kejuruteraan Unit Awam sekitar kampus.

Melalui sebuah evolusi yang berinovatif, kumpulan ini telah mengenalpasti penyelesaian tepat untuk permasalahan tersebut iaitu melalui ciptaan ‘Release Sleeve’ iaitu inovasi yang dapat mengurangkan kos penyenggaraan lantai bocor di UTM. Anugerah tersebut bukan sahaja telah berjaya menyelesaikan masalah pertambahan kos pembaikan lantai bocor di UTM malahan telah memenangi beberapa anugerah berprestij peringkat kebangsaan antaranya Anugerah Emas 3 Bintang di Konvensyen ICC Kebangsaan di Sunway Pyramid (SPCC) 2011 dan Anugerah Emas di Konvensyen ICC Wilayah Selatan di The Zone pada 2011.
Selain AINC, sebanyak 15 anugerah telah diberikan dalam Majlis Penghargaan Citra Karisma UTM 2012 iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sukan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Penasihat Akademik Terbaik, Pengajaran, Penyelidik, Harta Intelek & Komerlisasi, Inovasi dan Pengkomersilan Produk, Perundingan, Teknologi Maklumat, Penerbitan, Kualiti, Tokoh Penerbitan, Kualiti dan Penghargaan Alumni.

Anugerah Sukan diberikan pada Zainalabidin Abbas dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal manakala Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui (FPREE) pula telah memenangi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kategori Fakulti, Ruang Pejabat dan juga kategori makmal dan bengkel. Prof. Dr. Kamarul Asri Ibrahim dari Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengajaran kategori Kejuruteraan dan Prof. Dr. Mohammad Nazri Mohd. Jaafar pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyelidikan.

Bagi kategori Anugerah Harta Intelek dan Komersialisasi pula telah dimenangi oleh Prof. Ahmad Fauzi Ismail dari FKK yang turut juga dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk. Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air (IPASA) telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Perundingan manakala Anugerah Webometrik pula dimenangi oleh Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) bagi kategori akademik dan Pejabat Bendahari bagi bukan akademik.

Anugerah Teknologi Maklumat telah dimenangi oleh Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat (FSKSM) dan Perikatan Penyelidikan (RA) Bahan dan Pembuatan (MMRA) manakala Anugerah Penerbitan pula telah diberikan kepada Nasrul Hisyam Nor Muhamad dari Fakulti Tamadun Islam bagi bukunya yang bertajuk Hibah dalam Undang-Undang Islam : Prinsip dan Amalan.

Bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan pula telah dimenangi oleh Pejabat Pendaftar manakala Anugerah Kualiti Akademik dibolot oleh Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) dan Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahman dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) pula dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Tokoh Penerbitan. Turut menghadiri majlis adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang serta para pegawai kanan universiti yang lain.

Kumpulan APQ Team sewaktu menerima Piala dan replica cek kemenangan di Majlis Citra Karisma UTM 2012.

Explore More