JOHOR BAHRU 24 Sept. – Menggunakan peluang semaksimum mungkin sepanjang empat tahun menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membuahkan hasil buat Azad Anugerah Ali Rasol apabila dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-47 di sini hari ini.
Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum itu yang merupakan anak kepada seorang buruh ladang di Bekok, Segamat, menerima anugerah tersebut daripada Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
“Saya cukup gembira dengan kejayaan ini kerana segala usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Kejayaan ini bukan sekadar daripada semangat percaya dengan kemampuan diri, tetapi ia juga hasil daripada memberi tumpuan semasa kuliah, mengulang kaji dan aktif dalam persatuan.
“Selain itu saya datang daripada keluarga susah, ibu bapa banyak bergolok-bergadai untuk membesar dan menyekolahkan saya dan adik-beradik lain. Apa yang saya capai hari ini sebenarnya ‘anugerah dan hadiah’ untuk mereka dan secara kebetulan mereka menamakan nama saya ‘Anugerah’,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut.
Jelas Azad Anugerah, kejayaan yang diperoleh juga adalah hasil sokongan dan dorongan isterinya Siti Aminah Setu, 24, yang kini sedang menuntut Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia di Universiti Oxford, United Kingdom.
Pada konvokesyen hari ini, lebih 74 mahasiswa lepasan ijazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada pelbagai fakulti menerima sijil dan pingat selaku Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Lepasan Ijazah.
Sementara itu, graduan PhD Sains Komputer Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Sultan Noman Qasem, 31, dari Yemen berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang sering diidamkan.
Penerima terbaik PhD Kejuruteraan Elektrik Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Rasyidah Mohamad Idris, 35, pula menyifatkan anugerah tersebut bakal menjadi pendorong kepadanya berusaha lebih gigih.
Bagi penerima terbaik Sarjana Sains Matematik dari Fakulti Sains, Mohd. Ariff Admon, 24, disiplin yang baik merupakan antara penyumbang terbesar kejayaannya itu.

Sumber: Utusan Online | http://www.utusan.com.my/