Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

SMSParkir digunakan secara meluas oleh PBT Johor

JOHOR BAHRU, 18 Julai 2017- Sistem parkir kenderaan pintar, SMSParkir yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dicadangkan digunakan secara meluas oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  di seluruh negeri Johor Darul Takzim.

Prof. Dr. Sevia, YB Jais Sarday, Prof. Dr. Shafian dan Hj. Adib Azhari ketika pelancaran SMSParkir di Sutera Mall, Skudai.

Perlaksanaan itu mengambil kira kemudahan yang ada pada sistem parkir berkenaan yang lebih bersifat mesra pengguna dan memudahkan rakyat dalam membuat pembayaran parkir kenderaan kepada pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Haji Md Jais Haji Sarday berkata solusi yang dibangunkan oleh Prof. Dr. Sevia M. Idrus itu membolehkan orang awam membayar parkir menggunakan SMS dan aplikasi telefon pintar.

“Solusi ini dapat mengelakkan kesulitan pembayaran menggunakan kupon dan ini merupakan satu usaha UTM dalam meningkatkan keberkesanan operasi pengurusan tempat letak kereta dengan penggunaan peranti mudah alih yang telahpun menjadi keperluan hampir setiap individu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran sistem SMS Parkir di Sutera Mall, Skudai.

Yang turut hadir Dekan Penyelidikan Frontier Material UTM, Prof. Dr. Safian Sharif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Haji Adib Azhari Daud.

Secara teknikalnya, sistem yang dibangunkan pada Mei 2016 itu dibangunkan dalam dua pengoperasian berbeza iaitu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan Aplikasi SMSParkir bagi pengguna telefon jenis Android ataupun iOS.

“Walaupun berbeza tetapi prinsipnya tetap sama iaitu memudahkan pengguna membayar kos parkir dengan menggunakan telefon bimbit.

“Pembayaran menggunakan SMS amat mudah tanpa perlu pendaftaran dan tiada caj tembahan. Pengguna hanya perlu memasukkan maklumat seperti nombor pendaftaran kenderaan, lot parkir dan tempoh parkir ke nombor 33122,” katanya.

Setiap penghantaran SMS itu akan disahkan oleh pelayan SMSParkir sebelum kredit telefon bimbit pengguna ditolak berdasarkan caj parkir yang dikenakan.

Bagi pengguna talian tetap, caj akan dimasukkan dalam bil telefon yang dihantar kepada pengguna setiap bulan.

Pengguna juga boleh menggunakan sistem itu melalui aplikasi pintar yang boleh dimuat turun secara percuma.

“Jika masa yang diperuntukkan hampir tamat, sistem akan menghantar SMS peringatan dan pengguna boleh memilih untuk menambah masa ataupun terus mengalihkan kenderaan meraka.

“Sekiranya masa yang dipilih masih panjang, pengguna boleh ke mana-mana lot parkir di bawah kendalian MPJBT untuk menghabiskan baki masa tanpa perlu memasukkan semula butiran yang diperlukan,” katanya lagi.

Ketika mula diperkenalkan pada 1 April 2016, hanya 30,000 lot parkir MPJBT yang terlibat dengan penggunaan sistem ini.

Bermula pada 1 Jun 2017 lalu, keseluruhan tempat letak kereta MPJBT sebanyak 120,000 petak telahpun dilibatkan dengan sistem berkenaan.

Selain Celcom, perkhidmatan itu kini boleh dinikmati oleh pengguna perkhidmatan Digi dan Maxis dan akan dituruti oleh pembekal perkhidmatan telefon mudah alih yang lain tidak lama lagi.

Perlaksanaan sistem itu telah memberikan manfaat kepada hampir sejuta orang awam yang tinggal di kawasan Johor Bahru Tengah seperti Impian Emas, Perling, Bukit Indah, Nusajaya , Skudai dan Gelang Patah.

Explore More