Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2017 – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia(UTM), Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar hari ini merasmikan Lata Jernih, satu produk ekopelancongan terletak di Hutan Rekreasi dalam kampus UTM Johor Bahru.

Datuk Wahid menandatangan papantanda perasmian Lata Jernih.

Menurutnya, pembinaan Lata Jernih menggunakan kepakaran dalaman yang terdiri dari staf dan mahasiswa UTM hanya menelan belanja RM49,000 berbanding kos sebenar RM164,899 jika dibuat melalui proses tender.

Datuk Wahid diberi taklimat mengenai kerja-kerja membangunkan Lata Jernih oleh pelajar Senibina Lanskap.

Seramai 52 orang mahasiswa dan 10 staf dari Jabatan Lanskap, Fakulti Alam Bina UTM terlibat dalam membangunkan Lata Jernih itu yang turut mendapat kerjasama dari Unit Kampus Ekopelancongan, Pejabat Harta Bina dan Pusat Kerjaya UTM.

“Pembinaan Lata Jernih dijalankan menerusi program Job On Campus untuk memberi pengalaman kerja sebenar kepada mahasiswa UTM mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari di bilik kuliah kepada situasi kerja sebenar.

“Menerusi program ini UTM berjaya menjimatkan dua petiga daripada kos sebenar jika diserahkan kepada kontraktor luar,’ katanya.

Majlis perasmian dihadiri oleh Pengarah Harta Bina Profesor Dr Abdul Latif Salleh, Pengarah Pusat Kerjaya Prof. Madya Dr.  Othman Ibrahim dan Pensyarah Jabatan Senibina Lanskap Prof. Madya Dr Mohd Sarofil Abu Bakar.

Naib Canselor berkata, konsep pembinaan Lata Jernih yang dilakukan secara manual tanpa penggunaan peralatan berat bagi mengelakkan kerosakan kawasan sekitar untuk mengekalkan persekitaran semula jadinya. Bahan binaan semulajadi juga turut digunakan termasuk batu dan kayu yang terdapat di kawasan sekeliling.

Laluan masuk ke Lata Jernih.

 

Deruan air terjun di Lata Jernih memecah keheningan kawasan Hutan Rekreasi UTM.
Empangan dibina untuk menakung air.

Beliau turut mempelawa pelajar yang terlibat dalam program membangunkan Lata Jernih supaya tampil mengemukakan cadangan untuk mengurus Hutan Rekreasi agar dapat menarik lebih ramai pengunjung dan menjana pendapatan sebanyak mungkin.

Katanya, pada tahun lalu seramai 14,899 pengunjung dicatatkan mengunjungi Hutan Rekreasi untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan jumlah itu meningkat kepada 20 ribu orang termasuk yang datang untuk berehat dan beriadah bersama keluarga.

Pembukaan Lata Jernih bakal memberi satu lagi dimensi baru dalam inisiatif kampus Ekopelancongan UTM yang telah diperkenalkan sejak 2009.

Nama Lata Jernih diilhamkan daripada perkataan “lata” di dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud jeram yang airnya mengalir bertingkat dari tahap atas ke bawah. Jatuhan air jernihnya yang bertingkat serta kaya dengan flora dan fauna mampu memberikan ketenangan minda kepada para pengunjung yang datang.

Pokok-pokok hutan seperti gaharu, tongkat ali, jelutong, cengal, jering dan palas hutan turut ditanam di kawasan sekitar bagi menghidupkan suasana hutan semulajadi untuk dinikmati.

Selain itu, terdapat juga satu unit wakaf yang didirikan di kawasan berkenaan bagi untuk kemudahkan pengunjung berehat dan bersantai sambil menikmati permandangan di sekitar Lata Jernih ini.

Chalet disediakan untuk bermalam.
Kawasan perkhemahan yang luas dan bersih.
Kemudahan untuk aktiviti berkumpulan.
Kemudahan tempat makan.
Pengunjung boleh menyewa ATV untuk menjelajah kawasan Hutan Rekreasi.

Kedudukannya yang strategik di dalam Hutan Rekreasi turut memberikan nilai tambah bagi pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi dalam satu tempat antaranya program motivasi, merentas hutan sambil menikmati flora dan fauna serta boleh juga menginap di Rumah Kampung yang terdapat di kawasan berdekatan.

Bagi meningkatkan jumlah pengunjungke Hutan Rekreasi seluas 53 hektar itu, Unit Ekopelancongan, Pejabat Harta Bina sedang dalam proses menambah daya tarikan dengan menyediakan pelbagai kemudahan antaranya, chalet, kawasan perkhemahan, sukan memanah dan All-terrain vehicle (ATV) bagi membolehkan pengunjung menjelajah kawasan berkenaan yang kaya dengan flora dan fauna.

Explore More