Disember 27, 2024

Universiti Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan Education Malaysia Global Services Bincang Urusan Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa

JOHOR BAHRU, 17 Nov. — Satu pertemuan rasmi telah berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru dengan membabitkan wakil dari UTM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Education Malaysia Global Services (EMGS) dan beberapa wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pertemuan ini adalah bagi membincangkan tentang isu-isu yang berkaitan dengan kehadiran mahasiswa antarabangsa di pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan juga perkara-perkara lain yang berhubungkait dengannya.

Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Mohd. Ismid Md. Said berkata sesi pertemuan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan tren terkini pelajar antarabangsa yang semakin gemar melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mensasarkan sejumlah 200,000 orang pelajar antarabangsa menjelang 2025 berbanding 140,000 kini yang sedang melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Kerjasama erat diantara EMGS dan JIM dalam menguruskan dan menyaring pengambilan pelajar-pelajar antarabangsa yang berkualiti untuk menyambung pengajian di Malaysia banyak membantu kita di UTM khasnya dalam mengelakkan menerima para penuntut yang tidak berkualiti dan bermasalah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan pertemuan tersebut yang berlangsung di Dewan Senat, kampus Johor Bahru. Hadir sama adalah Ketua Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM Negeri Johor, Noriah Jaafar dan wakil JIM Putrajaya, Iqmal Haqimie Abdullah.

Ketua pegawai Eksekutif EMGS, Shahinuddin Shariff berkata Johor antara negeri paling banyak pintu masuk dan kemungkinan terdapat amalan yang berbeza dengan apa yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beliau juga melahirkan harapan agar sesi ini dapat menyelesaikan beberapa perkara yang berlaku di pintu-pintu masuk di Johor.

Seramai 40 perserta telah hadir ke sesi ini yang buat kali pertamanya diadakan di Kampus UTM. Antara wakil yang hadir adalah dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Reading University, Southampton University, Newcastle University, Crescendo International College, Southern Collage, Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT), Raffles University, Sunway University dan Institut Sains Dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT).

Explore More