Oleh: Shamimiraphay Binti Shahul Hameed Raphay (Setiausaha MARC) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)
REMBAU, 21 Mac– Merbauan Adventure and Recreational Club (MARC) sesi 2022/2023 telah menganjurkan program Basic Camp, iaitu aktiviti mendaki Gunung Datuk di Negeri Sembilan sebagai aktiviti terakhir semester satu bagi memberi peluang kepada pelajar yang pertama kali hendak belajar mendaki atau pelajar yang berminat dengan aktiviti-aktiviti lasak sebegini.
Misi program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang kemahiran asas berekreasi seperti mendaki gunung kepada para peserta. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar untuk melakukan aktiviti luar yang lebih sihat. Maka, pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar yang akan dijalankan oleh kelab MARC pada semester akan datang.
Program ini telah mendapat sambutan yang hangat dengan kuota sebanyak 31 orang telah penuh pada hari pertama pendaftaran diwar-warkan. Peserta termasuklah ahli kelab MARC dan pelajar-pelajar dari tahun 4 sehinggalah ke pelajar tahun 1.
Setelah tiba di tapak perkhemahan Gunung Datuk, peserta memanaskan badan terlebih dahulu dan melakukan regangan sebagai persediaan mendaki. Sebelum memulakan pendakian, pengarah program iaitu Nik Muhammad Iffzan, pelajar tahun 2 Kursus Kejuruteraan Kimia telah memberi taklimat keselamatan dan mengetuai bacaan doa.
Perjalanan mendaki berjalan dengan baik dengan ke semua peserta telah berjaya tiba di puncak. Setelah tiba, peserta diberi masa untuk berehat dan menikmati keindahan pemandangan di puncak Gunung Datuk.
Ke semua peserta telah pulang dengan selamat serta dapat membawa balik pengalaman yang memberi mereka keyakinan untuk mencuba aktiviti-aktviti luar ini lagi. Program ini telah mendapat respon yang baik dari peserta malah kelab MARC juga dapat memperbaiki kelemahan serta menambah baik program luar akan datang dengan mengambil respon para peserta dari program Basic Camp ini.