April 30, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 September 2018- Kemajuan dan kemunduran bagi sesebuah negara itu adalah amat bergantung kepada sistem nilai kehidupan yang dipegang oleh para penduduknya.
Sistem nilai ini adalah nilai hidup yang dipegang oleh sesebuah bangsa itu dan ditukarkan menjadi adat resam dan budaya yang diamalkan sepanjang kehidupan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya di UTM Kuala Lumpur hari ini berkata, nilai hidup ini memberikan pengaruh yang amat kuat dalam mencorak kejayaan sesebuah negara itu samada menjadi maju ataupun sebaliknya.

“Saya pernah melawat negara Jepun dan juga beberapa negara Eropah lain pada tahun 1961 dan saya dapati ada negara yang maju dan ada juga yang tidak berapa maju dan saya bertanya kepada diri sendiri mengapa ini terjadi.

“Akhirnya saya mendapat tahu yang perkara ini adalah berkaitan dengan nilai kehidupan yang dipegang oleh rakyat negara tersebut. Jika nilai yang dipegang itu salah maka mundurlah negara itu dan sebaliknya, jika nilai betul maka majulah negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Syarahan Perdana oleh Perdana Menteri Malaysia yang berlangsung di Dewan Banquet Utama, Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pagi tadi.

Turut hadir adalah Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Hj. Wahid Omar, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, Dekan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM, Prof. Dr. Ali Selamat serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pengurusan tertinggi UTM.

Dalam syarahan tersebut, Tun Mahathir menggariskan tiga perkara utama dalam nilai kehidupan, iaitu Harakiri, Rajin dan juga Amanah.

Menurutnya lagi, nilai kehidupan memberikan impak yang besar dalam menentukan samada sesebuah negara itu mundur ataupun maju dan perkara ini tidak boleh dinafikan.

“Kita lihat sahaja negara Jepun. Ada beberapa nilai hidup orang Jepun yang mungkin kita boleh ambil dan sesuaikan dengan keadaan kita di Malaysia ini sekirannya kita ingin berjaya seperti mereka.

Menurutnya lagi, semangat Harakiri adalah diamalkan oleh orang jepun dahulu kala yang mana penekanannya adalah rasa malu kepada kegagalan. Malu perlu disemai dari kecil. Tun Mahathir selanjutnya menjelaskan bahawa initipati penting dalam nilai ini ialah semangat tidak mahu gagal dalam melaksanakan sesuatu.

“Pengajaran penting yang boleh kita ambil dari nilai ini adalah semangat ingin berjaya yang amat tinggi serta tidak mahu gagal. Jika tidak mahu gagal kita hendaklah berusaha sebaik mungkin dan itu amat penting dalam menghasilkan kejayaan yang konsisten,” katanya.

Rakyat Malaysia juga khasnya orang Melayu juga mesti bersikap rajin dan berusaha keras untuk memajukan bangsa dan negara kerana menurutnya bangsa ini tidak ada bezanya dengan lain-lain bangsa di muka bumi ini.

“Kita mempunyai kemampuan yang setara dengan meraka. Orang Jepun mampu membangunkan kembali negara mereka yang musnah ketika Perang Dunia Kedua kerana mereka punyai sikap rajin bekerja.

“Meraka juga mempunyai sikap amanah yang tinggi di mana mereka amat bertanggungjawap dengan setiap amanah yang diberikan,” katanya.

Di Malaysia menurutnya lagi, ramai orang yang tidak amanah dan ini dapat dilihat dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak dibayar mencecah jumlah sehingga RM 36 bilion.

“Pinjaman ini dikeluarkan agar pelajar yang kurang berkemampuan dapat peluang untuk belajar dan seterusnya mengubah kehidupan meraka setelah bergraduasi dari universiti kelak.

“Mereka dapat pekerjaan yang baik serta pendapatan yang selesa dan akhirnya dapat menjalani kehidupan yang baik tetapi mereka lupa yang kejayaan itu adalah kerana tabungan ini. Mereka lupa yang pelajar lain akan terjejas akibat daripada perbuatan mereka yang tidak membayar balik pinjaman dan itu tidak bertanggungjawap,” katanya.

Beliau kemudiannya telah merasmikan Residensi UTM Kuala Lumpur iaitu hotel milik anak syarikat universiti itu yang terletak di Jalan Maktab, Kampung Datuk Keramat.

Dari kiri : Dekan MJIIT, Prof. Ali Selamat, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Hj. Wahid Omar, Menteri Pendidikan Malaysia, YB Maszlee Malik, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Explore More