November 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2018 – Mahasiswa Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2018 bertempat di Dewan Alumni UTM pada 14 Mei 2018.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan untuk Bulan Pendidik 2018 yang berlangsung selama sebulan.

Dengan tema “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”, Sambutan Hari Guru 2018 ini mempunyai kelainan berbanding sebelumnya kerana ia diurus secara bersama oleh para pelajar Fakulti Pendidikan (FP) UTM dengan para pensyarah FP.

Pengarah Program, Dr Asha Hasnimy Mohd Hashim dalam ucapannya berkata sebagai sebuah fakulti yang berteraskan bidang pendidikan, FP mengambil kira peranan yang dimainkan oleh para pensyarah dan pelajar FP dalam merencana agenda pendidikan Malaysia dan dunia yang lebih dinamik dan moden.

“Program ini dilihat mampu membentuk modal insan yang berbakat tinggi dalam mengurus aktiviti yang memberi impak tinggi kepada pendidikan negara.

“Di samping menghargai peranan pendidik dan bakal pendidik, aktiviti ini mampu memacu agenda pendidikan negara ke tahap yang lebih tertinggi,” katanya.

Sementara itu Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Muhammad Sukri Daud di dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa bangga dan terharu dengan sambutan baik oleh para pensyarah dan mahasiswa fakultinya terhadap program tersebut.

“Dengan penganjuran program sebegini, saya percaya FP mampu melahirkan bakal-bakal pendidik berketerampilan tinggi dan mempunyai bakat besar dalam memimpin dan mengurus,” katanya,

Sambutan Hari Guru 2018 telah dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seperti tarian berirama dengan selingan lagu “We are the Champion” diikuti pergerakan rancak, persembahan dikir barat dan persembahan choral speaking.

Mahasiswa Fakulti Pendidikan mengadakan persembahan ‘choral speaking’ sewaktu mengadakan sambutan Hari Guru 2018

 

Explore More