KUALA LUMPUR, 2 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pendidikan global melalui pelaksanaan Program International Service Learning (ISL) yang menghimpunkan elemen akademik, kemanusiaan dan kelestarian. Seramai 23 orang pelajar telah diraikan dalam Majlis Pelepasan Pelajar Sempena Program International Service Learning ke Semarang, Indonesia, yang dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa para pelajar yang menyertai program ini bukan sekadar menjalani aktiviti pembelajaran luar negara, tetapi membawa misi besar sebagai ejen pemulih nilai kemanusiaan dan kelestarian.

Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam komuniti luar negara melalui ISL membentuk pemikiran kritikal, empati dan kesedaran rentas budaya, yang akan membolehkan mereka memahami pelbagai gaya hidup dan nilai masyarakat global. Program ini secara langsung menyokong agenda pengantarabangsaan UTM dan selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035) yang menekankan pembangunan pelajar berdaya tahan dan berpandangan antarabangsa.
Lebih daripada sekadar pengalaman antarabangsa, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk menghasilkan inovasi yang lestari, bersifat hormat terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.
Beliau turut menyentuh isu semasa berkaitan dasar jejak karbon (carbon footprint policy) di Malaysia, yang kini menuntut perhatian terhadap tanggungjawab manusia terhadap persekitaran – termasuk pelaksanaan cukai karbon, penilaian semula Akta Alam Sekitar, dan kepentingan mengekalkan kawasan hutan. Dalam konteks ini, pelajar diingatkan bahawa mereka berperanan penting dalam menjayakan agenda kelestarian negara melalui pendekatan saintifik, beretika dan inklusif.
Program ini dilaksanakan melalui kursus SMJC2233 Physical Chemistry for Chemical Engineer dan melibatkan kerjasama strategik antara UTM dan Universitas PGRI Semarang (UPGRIS). Antara pengisian utama ialah projek komuniti berasaskan sains dan kesedaran alam sekitar yang akan dijalankan bersama komuniti setempat di Semarang.


UTM percaya bahawa program sebegini bukan sahaja memacu pengembangan ilmu dan pengalaman pelajar, malah menjadi medan untuk menyemai semangat kepimpinan, inovasi dan tanggungjawab global dalam kalangan generasi muda Malaysia. Penganjuran Program International Service Learning ini bukan sahaja mengukuhkan lagi reputasi UTM sebagai institusi yang proaktif dalam melahirkan graduan berjiwa global, tetapi turut memperlihatkan kesungguhan universiti dalam mendidik pelajar agar menjadi agen perubahan yang mampu menyumbang kepada komuniti antarabangsa.
Turut hadir di dalam majlis ini, Prof. Ts. Intan Zaurah Mat Darus, Pengerusi UGS; Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain, Dekan Institusi Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Abu Bakar, Timbalan Pengarah UTM International UTM Kuala Lumpur serta barisan penyelaras dan pensyarah.