JOHOR BAHRU, 23 April – Naib Canselor ke-8 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, hari ini membentangkan pencapaian dan inisiatif strategik sepanjang 100 hari pertama pentadbirannya yang bertujuan memperkukuh misi UTM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global.
Majlis khas tersebut berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, dan disiarkan secara langsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur serta UTM Kampus Pagoh, menghimpunkan 3,551 warga UTM, termasuk staf dan mahasiswa.
“19 April 2025 yang lalu, genaplah 100 hari saya menjalankan amanah sebagai NC ke-8 UTM. Dalam tempoh 100 hari ini, saya mempunyai satu hemat bahawa keutamaan paling tinggi harus saya berikan kepada warga UTM sendiri. Banyak inisiatif yang telah berjalan sepanjang tempoh ini yang berlaku di pelbagai peringkat sama ada antarabangsa dan negara, serta negeri bahkan UTM sendiri,” ujar Prof. Dr. Mohd Shafry.

Memperkasa jaringan global dan kepimpinan AI
Sepanjang tempoh tersebut, UTM terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa menerusi peluasan jaringan global yang merangkumi bidang aeroangkasa, falsafah dan kecerdasan buatan (AI) menerusi pertukaran staf dan pelajar di peringkat global. Inisiatif tersebut digerakkan melalui lawatan ke institusi luar negara dan penglibatan aktif dalam forum pendidikan tinggi antarabangsa seperti EURASIA Higher Education Summit (EURIE) 2025 di Turkiye.
Sebanyak 12 jaringan strategik berjaya dimeterai dengan institusi antarabangsa termasuk SATU President Forum Taiwan, Anhui Normal University, Samarkand State University dan Fergana Polytechnical University, sekali gus menambah nilai kepada reputasi UTM sebagai peneraju pendidikan tinggi global.
Lebih membanggakan, UTM turut melakar pencapaian penting apabila dilantik sebagai peneraju Malaysia Artificial Intelligence Council (MAIC), selain memainkan peranan utama dalam pewujudan National AI Office (NAIO), memperkukuh lagi kedudukan institusi dalam ekosistem AI negara.
Kerjasama domestik dan industri
Di peringkat domestik, kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor terus dipertingkat khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan sumber tenaga kerja. Usaha ini turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan graduan UTM berkemahiran tinggi serta latihan peningkatan kapasiti untuk penjawat awam yang berkhidmat di UTM.
Kerjasama bersama pihak industri juga giat diperkukuh melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat utama seperti AIR TRUNK, DHL, Polygon Synergy Ventures Sdn. Bhd. dan Mojitek Sdn. Bhd., selain mengadakan kunjungan strategik ke Batik Air bagi meneroka peluang kerjasama jangka panjang.

Sumbangan dana dan peranan Alumni
Dalam aspek pembangunan dana, Tabung Endowmen UTM merekodkan sumbangan terkumpul sebanyak RM584,865. Antara penyumbang utama termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), MBSB Bank Berhad, RHB Islamic Bank Sdn. Bhd. serta tokoh ilmuwan dan terkemuka negara, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Keterlibatan alumni UTM pula menjadi antara tumpuan utama pentadbiran Prof. Dr. Shafry. Penglibatan aktif alumni dalam aktiviti universiti bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah turut menyumbang kepada Tabung Endowmen Pendidikan Pelajar, sebagai simbol ikatan istimewa yang terjalin antara alumni dan universiti. Dengan sokongan alumni yang terus berkembang, UTM semakin mampu untuk menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas dan berkualiti kepada generasi pelajar masa depan.
Pasca 100 hari: Fokus tiga teras utama
Mengulas tentang hala tuju pasca 100 hari pentadbiran, Prof. Dr. Shafry menegaskan tiga fokus utama yang akan digerakkan. Pertama, pengukuhan jiwa warga UTM melalui pembudayaan nilai hikmah dan karamah insaniah untuk melahirkan warga berilmu dan berintegriti; kedua, transformasi organisasi berasaskan inovasi, optimasi dan transformasi berterusan termasuk dengan semakan proses kenaikan pangkat agar lebih adil dan seimbang; dan ketiga, pelaksanaan UTM Ascend 2030 yang merupakan pelan strategik lima tahun yang bakal memacu kecemerlangan institusi dari tahun 2026 hingga 2030. Mengambil kira nilai-nilai kelestarian dan kemampanan, Prof. Dr. Mohd Shafry turut mengangkat tagline baharu UTM, iaitu “Innovating Sustainable Solutions”.
Pelancaran Buku dan Inisiatif Digital
Majlis turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif penting termasuk, buku Naib Canselor yang bertajuk “Memperkukuh Kewibawaan Institusi”, ‘Guidebook for Internationalisation Practitioners in Higher Education’ dari UTM International, Kempen Membaca MADANI UTM 2025 dengan membawa slogan “Minda Membaca, Jiwa MADANI”, pelancaran lima sistem digital hasil sinergi UTMDigital bersama Jabatan Pendaftar, Pusat Kaunseling, Pejabat OSHE dan Perpustakaan UTM serta penyerahan cek cura sumbangan dividen oleh Uni-Technologies Sdn. Bhd. kepada UTM bernilai RM600,000.

Dengan pencapaian yang memberangsangkan ini, UTM dilihat berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan signifikan dalam landskap pendidikan tinggi negara dan antarabangsa.