Mac 28, 2025

WhatsApp Image at AM

UTM hargai staf bertugas pada Hari Raya dengan sumbangan penghargaan

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya pada 21 Mac 2025 (Jumaat), bertempat di Lobi Utama Dewan Sultan Iskandar, UTM. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 94 orang staf UTM Johor Bahru, manakala 32 orang staf UTM Kuala Lumpur menerima penghargaan dalam majlis berasingan. Penghargaan ini diberikan kepada staf yang akan bertugas pada hari pertama Aidilfitri di kampus-kampus UTM di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Mohd Zaires Md Deris, Menjalankan Fungsi Pendaftar UTM, telah hadir sebagai tetamu kehormat dan penyampai sumbangan bagi pihak universiti. Beliau telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk baucar bernilai RM200 serta sumbangan tambahan daripada Unit Zakat, Pusat Islam UTM berupa juadah kuih raya kepada staf yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran operasi universiti, meskipun pada hari perayaan yang penuh bermakna ini. Jabatan yang akan terlibat secara langsung untuk bertugas rasmi pada hari pertama Aidilfitri ialah Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar, Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Penyelenggaraan Digital, Pusat Islam UTM dan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Kesemua mereka ini bertugas bagi memastikan keselamatan kampus terkawal, perkhidmatan utiliti (elektrik dan air) berjalan lancar, perkhidmatan digital universiti beroperasi seperti biasa, serta kesiapsiagaan pasukan perubatan sekiranya berlaku kecemasan.

DSC Enhanced NR
Kehadiran tetamu kehormat, En Mohd Zaires Md Deris, Menjalankan Fungsi Pendaftar (tengah); Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni, Timbalan Pengarah Pusat Islam (Zakat dan Wakaf) (kanan) dan En Khairull Azmi Ishak, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pengurusan Organisasi, Jabatan Pendaftar (kiri)

“Majlis ini adalah simbol penghargaan kepada mereka yang terpaksa bertugas pada hari yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga. Universiti amat menghargai usaha dan pengorbanan mereka dalam memastikan segala urusan di dalam kampus UTM Johor Bahru, Pagoh dan Kuala Lumpur berjalan lancar demi kebaikan bersama,” ujar Mohd Zaires.

DSC Enhanced NR
En Mohd Zaires Md Deris menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih semasa majlis berlangsung

Majlis ini juga bertujuan untuk mengingatkan staf tentang pentingnya penghargaan atas dedikasi mereka, di samping memberi peluang untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri meskipun dalam suasana bekerja pada hari raya pertama. Pihak Pengurusan Universiti sangat menghargai dan berterima kasih kepada semua 126 orang staf yang sedia bertugas ini dan diharapkan sumbangan ini dapat memberikan sedikit keceriaan dan semangat kepada para penerima untuk terus memberikan yang terbaik dalam tugas mereka nanti pada hari pertama Aidilfitri.

Menurut PK Mohd Syafiq Azman, staf Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar, “Tahun ini merupakan kali pertama saya tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya kerana bertugas secara rasmi menjaga keselamatan kampus UTM Skudai pada hari pertama Aidilfitri. Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan dan ingatan ikhlas pihak pengurusan UTM yang memberikan sumbangan baucar RM200 dan kuih raya kepada kami para petugas yang bertugas pada hari raya ini.”

Pihak UTM mengucapkan terima kasih kepada semua petugas atas segala usaha dan pengorbanan mereka. Semoga mereka diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

DSC Enhanced NR
Para penerima dan wakil penerima sumbangan Hari Raya Aidil Fitri bergambar beramai-ramai selepas selesai majlis
DSC Enhanced NR
Antara urus setia Majlis Penyerahan sumbangan Hari Raya Aidil Fitri 1446H/2025M

Oleh Khairull Azmi Ishak dan Nurnasuha Alwi

Explore More